Video kanak-kanak 'yakin cantik' undang ketawa netizen
Madiha Abdullah
Mei 21, 2017 10:44 MYT
Mei 21, 2017 10:44 MYT
DALAM hidup, resipi utama untuk berjaya adalah keyakinan pada diri sendiri.
Seperti ungkapan yang sering kita dengar, 'yakin itu penting'.
Dan mungkin itu juga prinsip yang dipegang oleh kanak-kanak, walaupun usianya baru enam tahun.
Seorang pengguna Twitter, Kyle Dinsmore, memuat naik satu video dua hari lalu dan sudah menerima lebih 27,000 retweet dan 39,000 likes.
Video itu memaparkan perbualan Kyle bersama adik perempuannya, Khloe.
"Khloe, apa di muka kamu tu?" tanya Kyle.
"Kecantikan," balas Khloe.
Reaksi penuh keyakinan itu disambut ketawa besar oleh Kyle dan ibunya yang turut berada di situ, yang kemudiannya memuat naik video itu beserta kapsyen, "Saya harap semua orang yakin dengan diri sendiri seperti adik saya".
Kyle, 17, dalam temuramah dengan portal Buzzfeed memberitahu, dia tidak begitu terkejut dengan jawapan Chloe dan menyifatkan karakter adiknya itu sebagai 'sassy'.
"Mungkin juga saya penyebabnya. Kami sangat rapat dan mungkin sifat saya itu mempengaruhinya juga," kata Kyle.