Video kanak-kanak nasihat ibu tentang hubungan kekeluargaan sentuh perasaan
Kohilah Sekaran
September 23, 2015 20:48 MYT
September 23, 2015 20:48 MYT
Sebuah rakaman video seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun menasihati ibunya berkenaan kehidupan mula viral dan menyentuh hati rata-rata pengguna media sosial.
Dalam rakaman video berdurasi kira-kira tiga minit itu, Tiana dilihat meminta ibunya menjadi kawan baik dengan ayahnya sambil memberi nasihat mengenai kepentingan bertoleransi antara satu sama lain.
Menurut laporan Huffington Canada, video tersebut telah dimuat naik oleh ibu kanak-kanak yang bernama Cherish Sherry menerusi laman Facebooknya.
Difahamkan, Tiana mula menasihati ibunya selepas dia menyaksikan satu pertelingkahan antara ibu bapanya.
Apa yang lebih menyentuh hati, kanak-kanak itu meminta ibunya berbuat baik seperti dia, dan menyeru pasangan itu untuk kekal gembira.
“Jika saya dapat berbuat baik, saya pasti kita semua mampu melakukan benda yang sama.
"Saya cuba untuk melakukan yang terbaik dari hati saya ... saya mahu mama, ayah saya, semua orang untuk menjadi kawan.
"Jika kita hidup di dunia yang tidak aman, jadi semua orang akan menjadi raksasa,” kata Tiana.
Setakat ini, video tersebut telah menerima lebih dari 10 juta tontonan sejak dimuat naik minggu lalu.
Kebanyakan netizen tersentuh dengan nasihat Tiana yang mampu memberi erti kehidupan pada usia yang begitu muda.
Mereka juga memuji Tiana dengan mengatakan bahawa ia merupakan satu 'pengajaran' yang baik kepada golongan yang sudah berumahtangga.