Video gol penalti ajaib tular, kumpul 2 juta tontonan dalam empat hari

Madiha Abdullah
Oktober 25, 2017 11:07 MYT
Bola yang melantun tinggi, jatuh ke tanah dan bergolek semula ke dalam gol. FOTO/Facebook Phakawat Top
DALAM undang-undang bola sepak, tiada apa yang mustahil selagi tempoh 90 minit belum berakhir.
Dalam kes yang satu ini, mungkin ayat yang lebih tepat adalah 'jangan berpesta selagi bola belum jatuh ke tanah'.
Sebuah video gol penalti ajaib, dalam satu perlawanan di Thailand, tular di laman sosial selepas dimuat naik ke sebuah akaun Facebook, 21 Oktober lalu.
Baru empat hari, video itu telah menerima lebih 2 juta tontonan.
Video tersebut dirakam dalam satu perlawanan antara Bangkok Sports Club dan Satri Angthong.
Perlawanan terpaksa diheret ke penentuan sepakan penalti selepas masa penuh berakhir dengan seri 2-2.
Ketika penalti terikat 19-19, penjaga gol Bangkok Sports Club bersedia untuk mengambil sepakan penalti.
Namun, bola terkena palang gol sebelum melantun tinggi, menyebabkan penjaga gol Satri Angthong lari meninggalkan gawang sambil bersorak kegembiraan.
Ajaibnya, bola tersebut jatuh ke padang dan bergolek semula ke dalam gol, membuatkan penjaga gol Satri Angthong berlari semula ke gawang cuba menyelamatkan keadaan.
Bagaimanapun, ia sudah terlambat.
Perlawanan berakhir dengan Bangkok menang 20-19.
#Bangkok Sports Club #bola sepak #Facebook #laman sosial #Satri Angthong #video
;