Vida Beauty tangguh tajaan, pasukan Kelantan disaran 'ukur baju di badan sendiri'

Madiha Abdullah
Oktober 30, 2016 11:31 MYT
Pasukan Kelantan dilihat bergelut dengan masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Foto Bernama
SEMALAM, syarikat kosmetik dan kecantikan, Vida Beauty Sdn Bhd bersetuju menangguhkan tajaan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Tinjauan di akaun Facebook Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa mendapati, penyokong memberikan reaksi yang bercampur baur mengenai perkembangan terbaharu itu.
Rata-ratanya berkongsi satu pendapat yang sama, iaitu pengurusan bola sepak Kelantan perlu diperbaiki terlebih dahulu.
Ini bertitik tolak daripada pelbagai masalah yang didakwa melanda pasukan yang dikenali sebagai The Red Warrior itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penyokong kebanyakannya berpendapat, isu kewangan yang dihadapi KAFA adalah berpunca daripada ketidakcekapan pengurusan, termasuklah kekerapan menukar jurulatih dan pemain import.
Untuk musim 2017, beberapa cadangan diberikan mereka, antaranya menggunakan pemain sedia ada dan mengambil pemain dari skuad Piala Presiden.
Dalam masa yang sama, ada juga penyokong yang nampaknya sudah bosan dengan skrip sama yang berulang hampir setiap tahun.
Tidak kurang juga yang tidak dapat menyembunyikan kekecewaan dengan tindakan Vida Beauty dan menyifatkan syarikat itu tidak memahami perniagaan bola sepak.
Mengikut perjanjian, Vida Beauty masih mempunyai kontrak penajaan setahun lagi dengan pasukan berkenaan.
Di sebalik pelbagai masalah yang dihadapi Kelantan tahun ini, pasukan itu bagaimanapun berjaya menduduki tangga keempat dalam Liga Super musim ini.
#Datuk Seri Dr Hasmiza Othman #Persatuan Bola Sepak Kelantan #Tan Sri Annuar Musa #tangguh penajaan #Vida Beauty
;