Victoria makan hidangan yang sama setiap hari, selama 25 tahun - David Beckham

Agensi
Februari 5, 2022 12:00 MYT
David mendedahkan, isterinya, Victoria pernah mencuba sekali makanan lain iaitu semasa hamil anak perempuan mereka, Harper. - Gambar REUTERS/Danny Moloshok
BEKAS bintang bola sepak, David Beckham mendedahkan isterinya, Victoria, tidak akan menyentuh hidangan lain selain ikan bakar dan sayur kukus.
Biarpun Beckham mengakui gemar membuat eksperimen masakan di dapur dan mencuba pelbagai jenis makanan, Victoria pula sebaliknya kerana 'jarang menyimpang' daripada set menunya sejak 25 tahun lalu.
David, 46, mendedahkan bahawa anggota Spice Girls itu hanya pernah mencuba sekali makanan lain, iaitu semasa hamil anak perempuan mereka, Harper, 10.
"Saya sukakan makanan. Apabila saya makan sesuatu yang sedap, saya mahu semua orang mencubanya.
"Malangnya saya berkahwin dengan seseorang yang hanya makan hidangan yang sama sejak 25 tahun yang lalu. Dari hari pertama saya bertemu dengannya, dia hanya makan ikan bakar dan sayur kukus, dia sangat jarang menyimpang daripada menu itu.
"Hanya sekali dia mengambil makanan dari pinggan saya, berkongsi makanan dengan saya, iaitu semasa dia mengandungkan Harper dan ia adalah perkara yang paling menakjubkan," dedah Beckham dalam siri podcast River Cafe Table 4.
Victoria, 47, sebelum ini mengakui dia tidak akan makan makanan yang dimasak dengan minyak, mentega atau sos dan dia tidak makan daging merah atau tenusu.
Posh Spice itu juga memaklumkan comfort food pilihannya ialah sekeping roti bakar bijirin penuh dengan garam dan pada hari lahirnya, dia akan meraikannya dengan kek buah-buahan.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#David Beckham #Victoria Beckham #makanan #santai hujung minggu
;