Veteran ATM tidak berpencen perlu sedia, kreatif, teroka 'peluang kedua'
Bernama
April 2, 2022 08:45 MYT
April 2, 2022 08:45 MYT
PELABUHAN KLANG: Ketika berlaku bencana atau apa juga musibah kepada negara, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang merangkumi tiga cabang ketenteraan utama iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pastinya sentiasa berada di barisan hadapan.
Malahan apabila berlaku pandemik COVID-19 yang sudah berlanjutan selama dua tahun serta banjir besar yang melanda negara pada awal tahun ini, wira negara ini turut turun padang, membantu pelbagai pihak lain untuk memastikan keselamatan rakyat dan negara.
Justeru, nasib anggota tentera untuk menghadapi kehidupan selesa selepas tamat perkhidmatan wajar diberi perhatian agar tidak terjerumus ke dalam golongan miskin, seperti yang dialami ramai veteran ATM tidak berpencen.
Veteran ATM tidak berpencen merujuk kepada anggota yang berhenti mengikut peraturan dan servis perkhidmatan tidak mencecah 21 tahun.
Polemik kelangsungan hidup veteran ATM tidak berpencen ini turut mendapat perhatian beberapa pihak termasuk kerajaan dalam memastikan pengorbanan mereka sebelum ini tidak dilupakan begitu sahaja.
Antaranya termasuklah pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) bernilai RM350 secara 'one-off' kepada sejuta pesara kerajaan yang turut diperluaskan kepada veteran ATM tidak berpencen.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata langkah itu selaras dengan amalan semasa kerajaan yang prihatin terhadap golongan veteran ATM tidak berpencen agar turut menerima BKK.
KISAH VETERAN TENTERA JADI IKTIBAR
Mohd Rosli Abdul Rafar, 41, boleh dijadikan contoh bagi mereka yang tergolong dalam veteran ATM tidak berpencen dan tidak menjadikan status itu sebagai penghalang untuk beliau bangkit berusaha untuk kelangsungan hidup.
Selepas 18 tahun mengharungi lautan luas ketika berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), anak jati Besut, Terengganu ini, membuat keputusan untuk menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2018.
Seperti tentera lain yang tamat perkhidmatan dan wajib mengikuti program latihan peralihan sebagai persediaan persaraan, anjuran Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), beliau juga berbuat demikian dan memilih bidang pertanian fertigasi.
Meskipun bidang pertanian sering dikaitkan sebagai antara pekerjaan "3D" (kotor, bahaya dan sukar), ini tidak mematahkan semangat veteran ATM, Mohd Rosli Abdul Rafar untuk menjadikannya sebagai lubuk rezeki.
Berasal daripada keluarga pesawah, justeru tidak hairanlah beliau memilih bidang pertanian ini untuk memastikan masih ada masa depan untuk beliau, selepas berhenti daripada tentera, untuk menyara isteri dan tiga orang anaknya.
Menurut Mohd Rosli, sebagai veteran tentera tidak berpencen, golongan seperti beliau perlu diberikan 'peluang kedua' untuk menceburi bidang pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan dan bakat yang dimiliki serta mampu menjana sumber pendapatan bagi menyara keluarga.
"Ramai veteran ATM tidak berpencen berharap agar mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik atau sesuai dengan kebolehan dan kemahiran yang dimiliki serta mampu menjadi sumber pendapatan.
"Setelah sekian lama menabur bakti berkhidmat untuk negara, peluang ini hendaknya tidak terhad kepada sektor 'pekerjaan 3D' iaitu kotor, bahaya dan sukar," katanya sewaktu ditemui Bernama baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, Mohd Rosli berkata, veteran tentera tidak berpencen perlu bersedia dan kreatif untuk mencari peluang selepas tidak lagi berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.
PILIH PERTANIAN FERTIGASI
Ketika menyertai program PERHEBAT dan memilih bidang pertanian, Mohd Rosli turut menjalani kursus pengurusan pertanian fertigasi di Jabatan Pertanian selama tiga bulan di samping turut diajar pengurusan dokumen kewangan yang berkaitan dengan modal keluar dan masuk.
Beliau juga menyelongkar ilmu pertanian menerusi Facebook, Instagram dan Tik Tok kerana semangat ingin menambah ilmu pertanian yang diperolehinya daripada Jabatan Pertanian dalam soal tanaman cili, peria, timun, kacang panjang dan terung mini secara fertigasi.
"Siapa sangka setelah 18 tahun berkhidmat di lautan biru, saya memilih bidang pertanian sebagai kerjaya kedua, " katanya, sambil menambah, beliau mahu menjadi sumber inspirasi kepada veteran ATM tidak berpencen yang lain.
Menurut Mohd Rosli, hati beliau sebenarnya terbuka untuk menerokai bidang penanaman fertigasi selepas mendengar perkongsian seorang pengusaha mualaf dalam bidang tersebut di Terengganu.
"Pada mulanya saya tidak terfikir untuk buat tanaman fertigasi tetapi daripada ilmu yang dikongsi dengan pengusaha mualaf ini, kemudian melihat bagaimana beliau mengusahakannya dan hasil yang diperolehi, timbul rasa seronok.
"Lebih-lebih lagi apabila melihat ramai peraih dan pemborong, berlori-lori datang untuk membeli hasil tanaman dengan wang tunai yang jelas menunjukkan tanaman fertigasi membawa hasil yang lumayan dan berpotensi untuk berkembang," katanya.
Bermula pada tahun 2015, Mohd Rosli mengusahakan tanaman fertigasi secara kecil-kecilan di sebuah tanah sewa seluas 0.1 hektar selama dua tahun sebelum berhenti daripada perkhidmatan tentera.
Ketika itu beliau mampu menanam 800 pokok cili dan apabila orang kampung berdekatan menyedari corak pertanian beliau berpotensi, mereka menawarkan sewaan tanah seluas 1.21 hektar yang membolehkan Mohd Rosli menanam 2,000 pokok cili.
Tanah tersebut terletak di Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah (Klang, Selangor).
Bagaimanapun, modal bagi tanaman fertigasi agak besar sehingga kini mencecah jumlah terkumpul sekitar RM150,000,
"Pada peringkat awal saya melabur sebanyak RM40,000 dan apabila dapat sedikit untung saya tambah pelaburan sehingga mencecah jumlah pelaburan keseluruhan," katanya.
Meskipun modal besar, pulangannya juga besar, seperti kata Mohd Rosli sambil memberi contoh, beliau boleh menjangka perolehan melebihi RM12,000 daripada modal RM5,000 untuk tanaman peria.
Beliau juga memberi contoh tanaman pokok cili yang juga boleh mendatangkan hasil pendapatan besar.
"Saya tanam cili sebanyak 2,000 pokok yang mengeluarkan hasil selepas dua bulan ditanam. Minggu pertama dipetik hasilnya mencecah 500 kilogram (kg) dan harga cili RM12 satu kg di kebun dan tiba masa menuai akan menghasilkan kuantiti cili sebanyak setengah ataupun satu tan, iaitu pendapatan sebanyak RM12,000," katanya.
Menurut beliau, cili adalah tanaman yang menguntungkan serta lumayan berbanding tanaman lain kerana harga pasaran tinggi serta sektor penghiliran yang pelbagai, yang selain boleh dijual di pasar-pasar, ia juga mempunyai permintaan dari kilang-kilang penghasilan sos.
BERDEPAN DENGAN PELBAGAI CABARAN
Bagaimanapun, di sebalik hasil pendapatan yang besar, ini tidak bermakna Mohd Rosli tidak menghadapi cabaran yang sama besarnya.
"Saya pernah kecewa tanaman diserang serangga dan penyakit yang boleh datang tanpa mengira waktu serta permasalahan dari segi pengairan yang perlu penelitian di samping fenomena banjir yangh melanda serta merosakkan tanaman yang pada mulanya ditanam di atas tanah.
"Ditambah pula apabila negara dilanda pandemik COVID-19 dan kerajaan kuatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP), saya terkesan benar impaknya dan terpaksa mencabut anak pokok dan tidak ada tanaman baharu, hanya tumpu kepada pokok yang sudah ada hasil," katanya.
Menurut Mohd Rosli, sepanjang tempoh penularan COVID-19, beliau hanya mampu berusaha untuk memperoleh modal pusingan sahaja kerana masa pengoperasian penanaman terhad, pasar tutup, pemborong dan peraih kurang mengambil hasil di kebunnya.
"Saya mempunyai hasil cili sebanyak lima tan, tetapi ketika itu tidak dapat dipasarkan kerana PKP tetapi mujur ada pertolongan dari agensi pertanian kerajaan tetapi pengambilan hasil adalah terhad dan saya ambil keputusan untuk agihkan hasil cili saya kepada penduduk setempat secara percuma," katanya.
Ketika pandemik, pengusaha seperti Mohd Rosli terpaksa beralih kepada dunia dalam talian, dan beliau menggunakannya untuk memuatnaik gambar hasil tanaman fertigasinya dan hasilnya mendapat pasaran.
"Alhamdulillah saya memang tidak mengenali mereka tetapi tanpa sedar kenalan Facebook terdiri daripada peraih dan pemborong yang datang sendiri ke kebun saya untuk membeli hasil tanaman," katanya.
Mohd Rosli berkata kawan-kawan di media sosial turut membantu dimana terdapatnya kumpulan pertanian fertigasi Facebook, Instagram dan TikTok yang menghimpunkan pengusaha tanaman fertigasi seluruh Malaysia.
"Kami dapat jadikan media sosial sebagai platform menambah ilmu dan sama-sama bertukar pendapat serta pusat cara mengatasi masalah mengenai tanaman fertigasi," katanya.
PENGALAMAN SEBAGAI TENTERA BENTENG KEJAYAAN
Mohd Rosli turut berkongsi bahawa pegangan jati diri ketika berkhidmat dalam tentera banyak membantunya dalam perjuangan tanpa mengalah serta penerapan elemen disiplin dalam pertanian fertigasi.
"Saya ambil pendirian perkhidmatan ketenteraan dan bawa ke dalam bidang pertanian di mana tiada istilah kegagalan dan setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Saya juga belajar dari tentera agar tidak berputus asa dan kalau gagal, terus cuba lagi," katanya.
Beliau berkata cara penyusunan tanaman fertigasi turut melibatkan pengalaman perbarisan dan penekanan disiplin ketika bersama TLDM yang membolehkan penghasilan sususan tanaman fertigasi yang tertib yang mengutamakan kebersihan persekitaran.
Kepada pesara tentera, Mohd Rosli berkata, bidang pertanian fertigasi yang diceburinya adalah sangat luas dan dapat belajar sistem teknologi terkini dari dalam negara mahupun luar negara.
"Bukan satu tanaman sahaja kita boleh buat, macam-macam tanaman boleh diusahakan dimana jika hasilnya berbeza-beza dari segi kuantiti, boleh tumpukan kepada tanaman yang berpotensi," katanya yang turut menasihati mereka yang berminat agar lihat juga kepada permintaan pasaran contohnya kehendak di pasar borong dan pasar-pasar lain.
"Bagi mereka yang berminat dengan tanaman fertigasi mereka harus sering menimba ilmu dari mereka yang berpengalaman dan mencari institusi sokongan dan mendedahkan diri dengan teknologi pertanian yang boleh membantu mereka.
"Saya turut mengalu-alukan mereka yang akan bersara daripada perkhidmatan tentera yang berminat tanaman fertigasi untuk berjumpa saya dan saya akan bantu dari aspek mental dan fizikal yang diperlukan. Mereka harus kuat semangat seperti berjuang dalam tentera kerana tanaman fertigasi, " katanya.
-- BERNAMA
* Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!