Ustaz Wan sanggup bina tempat main boling DIY di sekolah kampung
Bernama
April 28, 2024 20:28 MYT
April 28, 2024 20:28 MYT
KUALA NERANG: Seorang ustaz sanggup mengeluarkan belanja sendiri dan tampil dengan idea kreatif membina tempat bermain boling buatan sendiri (DIY) di Sekolah Kebangsaan (SK) Nami, Gulau Sik, dekat sini, bagi memudahkan pelajarnya mengasah bakat dalam sukan itu.
Wan Roslan Wan Ishak yang mesra disapa Ustaz Wan,48, berkata, beliau mempunyai minat yang sangat tinggi terhadap sukan boling dan berhasrat untuk turut mengasah bakat anak muridnya agar dapat menonjol dalam acara tersebut.
"Pada 2015 saya bawa murid ke Alor Setar untuk berlatih main boling... Jarak jauh (hampir 60 kilometer sehala), kesian murid-murid dan saya pun penat sebab lepas hantar mereka balik, dah malam baru sampai ke rumah. Tapi saya minat sangat boling ni dan saya sendiri mewakili negeri dalam Kejohanan Sukan Dan Kebudayaan Pegawai Pendidikan.
"Sebab itu saya nak anak murid saya juga berjaya dalam acara boling sebab itu saya sanggup bersusah payah hinggalah timbul idea untuk buat satu lorong boling di sekolah ini pada 2021," katanya kepada Bernama ketika ditemui di SK Nami dekat sini, hari ini.
Guru Pendidikan Islam itu berkata sangat mencabar untuk melatih anak-anak di luar bandar bermain boling kerana tiada kemudahan terdekat untuk mereka berlatih dan sebab itulah beliau sanggup mengeluarkan modal membina lorong boling yang diperbuat daripada papan lapis bersaiz tebal, paip PVC dan simen.
"Papan lapis itu saya lapikkan dengan kayu lebih tebal dan pastikan rata dan panjang mengikut saiz standard 60 kaki (18.29 meter). Paip PVC saya isikan simen dan jadikan pelapik bola boling. Saya buat di dewan sekolah dan lorong boling ini boleh dialihkan," katanya.
Lebih menarik lagi, selain bola, platform dan pin, terdapat juga satu rel yang digunakan untuk menghantar semula bola kepada pemain selepas melontarkannya seakan tempat bermain boling yang sebenar.
Menurut Ustaz Wan beliau mendapat sokongan padu daripada guru-guru lain di sekolah tersebut yang memberi semangat untuknya membina tempat main boling walaupun dalam serba kekurangan demi membuktikan bahawa pelajar 'sekolah kampung' juga boleh berjaya dalam apa juga bidang sukan.
"Bola dan pin boling pula ada yang saya beli dan ada yang diberikan oleh pusat boling, yang mereka dah tak pakai, mereka berikan pada saya," katanya.
Menurut Ustaz Wan, pada 2023 beliau menambah satu lagi lorong boling memandangkan ia mendapat sambutan hangat bukan sahaja untuk kegunaan latihan atlet boling di sekolahnya, malah pelajar lain turut teruja dan ingin mencuba permainan tersebut.
Usaha Ustaz Wan nyata tidak sia-sia apabila anak didiknya sering berjaya dalam kejohanan disertai termasuk sehingga ke peringkat daerah.
"Tahun lepas kita dapat juara peringkat daerah kategori lelaki dan perempuan dan kami berharap untuk dapat pergi lebih jauh selepas ini," katanya.
Sementara itu Guru Besar SK Nami Azizah Nik Ishak berkata pihaknya memberikan sokongan penuh kepada guru-guru yang ada inisiatif sendiri demi memajukan murid dalam apa juga bidang sama ada akademik atau sukan.
"Sekolah kami ini sekolah kampung, pelajar ada 187 orang sahaja dan kemudahan pun terhad. Ada murid yang tak pernah tahu pun apa itu boling dan bila ada usaha macam Ustaz Wan buat ini, saya amat menyokong kerana ia memberi pendedahan yang baik kepada murid-murid.
"Kalau di bandar besar, murid-murid mungkin dah biasa dengan boling, tapi di kampung ini, ada yang tak pernah sampai ke Alor Setar pun, memang mereka tak pernah pun main boling. Jadi bila ada tempat main boling di sekolah, mereka ada aktiviti, waktu rehat ni taklah bermain sana sini," katanya.
Azizah berkata pihak sekolah juga sangat berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak yang sudi membantu usaha Ustaz Wan supaya lorong boling mudah alih di sekolah mereka dapat ditambah baik supaya murid dapat berlatih dengan lebih sempurna.
"Ustaz Wan mengajar murid teknik dan cara betul bermain boling kerana dia sendiri adalah atlet boling, dan buktinya kami berjaya dalam beberapa kejohanan dan berharap murid kami dapat mewakili negeri suatu hari nanti sekali gus membuktikan budak sekolah kampung juga mampu berjaya," katanya.
-- BERNAMA