Usia sudah 64 tahun namun hanya berpeluang rai ulang tahun 16 kali
Bernama
Februari 29, 2024 22:59 MYT
Februari 29, 2024 22:59 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun usianya telah mencecah 64 tahun namun ayah kepada dua cahaya mata yang berasal dari Kluang, Johor ini ibarat masih berada di zaman remaja kerana hanya berpeluang meraikan ulang tahun kelahiran sebanyak 16 kali.
Pengurus Kelab Akhbar Kebangsaan Malaysia Steven Foo Tzeh Chih, yang dilahirkan pada tarik unik iaitu 29 Feb, hanya berpeluang menyambut hari jadinya empat tahun sekali susulan fenomena tahun lompat.
"Umur saya dah 64 tahun tetapi baru 16 kali sahaja jumpa tarikh istimewa itu sepanjang hidup saya. Kebiasaannya kalau 29 hari bulan ini muncul, anak-anak saya akan ambil cuti atau cuba habis kerja awal untuk pergi makan malam dan sambut hari jadi saya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Foo, yang tidak sabar meraikan ulang tahun kelahirannya malam ini bersama keluarga, turut berkongsi bahawa beliau sering bergurau dengan rakannya ketika di bangku sekolah apabila tiba bulan Februari.
"Masa kecil dulu, saya selalu bergurau dengan rakan-rakan kalau nak sambut hari jadi saya, bawalah hadiah sebab setiap tahun hari jadi saya tidak muncul. Saya gurau macam itu sebab ia adalah sesuatu yang berbeza kan tapi itu hanyalah simbolik kerana waktu sekolah mana budak sekolah mampu beri hadiah, dia bagi kad hari jadi sahaja," katanya.
Berkongsi nasib sama, gadis berasal dari Kedah Nur Aisyah Shofiyah Rusli pula berkata setiap tahun beliau akan mengira berapa lama lagi akan bertemu lagi tarikh keramat itu kerana teruja untuk meraikannya bersama orang tersayang.
"Perasaan saya sambut hari jadi empat tahun sekali ini semestinya sedih sebab orang lain kan biasanya sambut setiap tahun tetapi saya kena tunggu tahun ke tahun baru timbul 29 Feb itu. Pada masa sama, saya rasa istimewa sebab ada tarikh hari jadi macam tu," kata gadis berusia 24 tahun itu.
Nur Aisyah Shofiyah, yang baru berpeluang menyambut ulang tahun kelahirannya sebanyak enam kali, turut mengakui bahawa sambutan kali ini lebih bermakna kerana ia kali pertama disambut bersama suami tercinta selepas mendirikan rumah tangga baru-baru ini.
Lain pula kisahnya dengan ahli perniagaan Muhamad Asyraf Mohtar, 28, yang secara 'tidak sengaja' terpilih 29 Feb sebagai tarikh perkahwinannya ketika negara dilanda COVID-19.
Bagaimanapun, beliau berkata itu bukan alasan untuk tidak mencipta kenangan meskipun harus menyambut ulang tahun perkahwinan pada tarikh lain setiap tahun.
"Saya tidak rasa tarikh ini sebagai kekurangan untuk tidak menyambutnya. Benda yang peliklah kena buat. Biarlah tarikh ini datang empat tahun sekali tetapi saya tetap sambut setiap tahun... biarlah tarikh tak kena pun sekurang-kurangnya ada memori," katanya yang bakal menimang cahaya mata ketiga tahun ini.
-- BERNAMA