Usahawan spa manfaatkan tempoh PKP tingkat strategi perniagaan
Bernama
November 9, 2021 12:17 MYT
November 9, 2021 12:17 MYT
GEORGE TOWN: Pandemik COVID-19 yang melanda negara sehingga menyebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahun lepas bukanlah alasan untuk usahawan spa berpeluk tubuh walaupun sektor itu tidak dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan perintah itu.
Mengakui keadaan itu menjejaskan perniagaan, mereka sebaliknya memanfaatkan tempoh PKP dengan melakukan pelbagai ikhtiar dan strategi seperti meneruskan perniagaan secara dalam talian dengan memasarkan produk berkaitan di samping meneroka dunia digital.
Pengusaha Teratak Spa, Norliza Othman, 50, berkata berbekalkan pengalaman dalam dunia perniagaan selama 25 tahun, beliau mencari alternatif lain bagi menjana pendapatan seterusnya membolehkannya melunaskan segala komitmen tertunggak dek kehilangan punca pendapatan selain ingin mempelbagaikan cabang ilmu pengetahuan.
"PKP sememangnya banyak mengajar saya sesuatu yang baharu contohnya saya dapat mempelajari tentang ilmu teknologi pemasaran digital selaras dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang disifatkan begitu asing di kala usia menginjak ke separuh abad.
"Kalau sebelum ini, perniagaan hanyak memberi fokus kepada perkhidmatan dalam bentuk fizikal, tapi sejak PKP kami dapat membuat jualan produk seperti set terapi Mimpi, minyak aroma terapi serta 'eye pillow' secara dalam talian meskipun premis tidak beroperasi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di premisnya dekat Bayan Baru, di sini.
Beliau menambah, menerusi pengaplikasian teknologi digital juga dapat menjadikan pengurusan data pelanggannya lebih efisien dan sistematik seperti menghantar borang janji temu secara dalam talian yang lebih mudah dan cepat.
Norliza berkata selain itu beliau turut dijemput oleh agensi kerajaan serta institusi pendidikan kemahiran untuk memberi ceramah keusahawanan menerusi platform dalam talian yang turut dijadikan sebagai pendapatan sampingan.
Apabila sektor spa dan kecantikan dibenarkan beroperasi kembali pada masa ini, beliau bersyukur dan teruja namun akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha memastikan pekerja dan pelanggan sentiasa dalam keadaan sihat dan selamat.
"Dalam teruja ada risau sebab nak pastikan operasi berjalan dengan lancar serta kesemua yang terlibat terlindung daripada sebarang risiko penularan COVID-19," katanya yang kini mempunyai sembilan pekerja dan dua cawangan di ibu kota dan Negeri Sembilan.
-- BERNAMA