Usahawan kreatif tempatan perlu kerja keras untuk capai sanjungan antarabangsa - Rosmah

Bernama
November 5, 2015 11:00 MYT
Antara rekaan fesyen yang diperagakan sempena Minggu Fesyen Malaysia 2015 di Dewan MATRADE yang dirasmikan pada Rabu. - Foto Bernama
Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk usahawan kreatif tempatan mendapat sanjungan antarabangsa dan pulangan yang tinggi, kata isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Beliau berkata banyak orang memandang remeh kepada kesan ekonomi industri fesyen sedangkan ia sebenarnya mempunyai potensi untuk mewujudkan pekerjaan mahir, menambah nilai kepada kreativiti dan bakat serta mengembangkan kesenian.
"Seperti dalam banyak sektor lain, walaupun kita jelas mempunyai bakat, kita nampaknya mengalami serba kekurangan dari segi pemasaran dan penjenamaan.
"Jelas, banyak lagi yang perlu dilakukan jika para usahawan kreatif kita mahu mencapai sanjungan antarabangsa dan pulangan tinggi yang mereka layak memperoleh," katanya.
Rosmah berucap pada perasmian majlis makan malam gala sempena FACIT@INTRADE dan Minggu Fesyen Malaysia 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Matrade, Datuk Noraini Ahmad.
Rosmah memuji penganjur Minggu Fesyen Malaysia kerana memberi tumpuan khusus mengenai penglibatan belia pada INTRADE dan Minggu Fesyen Malaysia tahun ini.
"Justeru, adalah penting kita menyediakan ruang yang perlu kepada belia dan pelajar untuk membolehkan mereka menyalurkan tenaga produktif dan mengembangkan bakat mereka.
"Minggu Fesyen Malaysia ialah platform yang baik untuk pelajar membangunkan kemahiran mereka ke arah menjadi pereka terkenal di arena fesyen antarabangsa," kata beliau.
#FACIT@INTRADE #Matrade #Minggu Fesyen Malaysia 2015 #noraini ahmad #Rosmah Mansor
;