Usaha sifar sisa buangan di Bukit Fraser

Bernama
Mei 2, 2016 07:28 MYT
Memandangkan kesedaran kitar semula di Bukit Fraser amat rendah, ini menyebabkan begitu banyak sisa buangan. - Gambar fail
Bukit Fraser, pusat percutian dengan sekitar 1,000 penduduk menghasilkan lapan tan metrik sisa pepejal setiap minggu.
Sisa pepejal ini juga termasuk dari hotel, restoran dan sekolah.
Sejak satu dekad lalu, Majlis Daerah Raub (MDR) telah membuang sisa pepejal itu di tapak pelupusan sampah Cheroh. Ia terletak kira-kira 58 kilometer atau tujuh jam perjalanan dengan pengangkutan darat.
Majlis Daerah Raub membelanjakan sebanyak RM28,000.00 sebulan untuk mengangkut sisa pepejal itu ke tapak pelupusan sampah.
Perkara itu dinyatakan oleh Khairul Irwan Kalid, Penolong Pengarah, Bahagian Teknologi dan Penyelidikan Pengurusan Perbadanan Sisa Pepejal (SWCorp) sewaktu lawatan media ke Bukit Fraser baru-baru ini.
"Sisa pepejal dari Bukit Fraser ini menjadikan jumlah sampah yang dikutip sekitar Raub kepada 30 tan metrik. Semuanya ini dibuang ke tapak pelupusan sampah Cheroh setiap hari," katanya.
Bagaimanapun, tapak pelupusan sampah yang seluas 48,000 meter persegi yang bersamaan 12 buah padang dijangka mencapai kemampuan maksimumnya menjelang 2017.
"Sekiranya tapak pelupusan sampah ini sampai ke tahap maksimum, kami perlu mencari tapak pelupusan sampah yang baru untuk menampung pembuang sisa pepejal.
"Ini sudah tentu melibatkan kos yang besar," katanya.
ALTERNATIF HIJAU
Bagaimanapun, MDR dan SWCorp bersama-sama dengan Perbadanan Pembangunan Bukit Fraser melaksanakan satu program proaktif dengan bantuan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA).
Program ini adalah untuk memperbaiki pengurusan sisa pepejal terutama mengurangkan sisa yang perlu dibuang di tapak pelupusan sisa.
Menurut wakil kanan JICA Malaysia, Shinsaku Fukuzawa, projek perintis dua tahun itu untuk memperbaiki pengurusan sisa pepejal itu juga memerlukan penyertaan penduduk terutamanya dalam usaha pengurangan, guna semula dan kitar semula.
Memandangkan kesedaran kitar semula di Bukit Frazer amat rendah, ini menyebabkan begitu banyak sisa buangan.
Fukuzawa menambah program itu bermula pada Disember 2015 dengan penyediaan latihan untuk mendidik pengurusan hotel serta restoran di Bukit Fraser untuk mengurus sisa dapur menerusi kaedah Bokashi.
Bokashi adalah teknik menggunakan bakteria untuk menguraikan sisa makanan.
"Sisa yang diurai akan dibawa ke pusat pengkomposan yang diuruskan oleh KICA dan SWCorp di Bukit Fraser di mana ia akan ditukar menjadi baja.
"Baja itu, dalam bentuk sekam padi boleh digunakan sebagai pembaik tanah untuk setiap perladangan di kawasan itu," katanya.
Dalam lawatan itu, wakil di pusat pengkomposan membuat demonstrasi proses menghasilkan baja daripada sisa yang terurai.
Dari Disember 2015 sehingga Mac 2016, sebanyak 9,000 kilogram sisa makanan dari pusat komersial termasuk hotel dan restoran telah berjaya diproses.
"Daripada sisa ini, kami menghasilkan 200 kg baja dan kami menjangka dapat menghasilkan lebih banyak lagi pada masa depan.
"Kami juga mahu mengurangkan kos mengurus sampah sebanyak mungkin," kata Fukuzawa.
MENJADIKAN BUKIT FRASER KAWASAN SIFAR SISA
Projek yang juga dibuat secara kerjasama dengan Bandar Kitakyushu, Jepun dan Alam Flora Sdn Bhd, bertujuan menjadikan Bukit Fraser sebagai kawasan "sifar sampah'.
Sifar sampah menurut takrif Zero Waste International Alliance adalah sasaran mendidik masyarakat untuk menghasil, mengguna serta mengitar semula sumber yang tidak diperlukan supaya ia boleh digunakan oleh orang lain atau dikembalikan kepada alam semula jadi.
"Di samping meningkatkan kadar kitar semula di sini, kami juga mahu mempromosikan Bukit Fraser sebagai pusat percutian ekosistem dan menarik pelancong," kata Fukuzawa.
Untuk mencapai sasaran ini, pihak Jepun membelanjakan kira-kira RM2 juta dalam projek ini yang termasuk kos mesin pengurai, pusat kitar semula, pekerja mahir, penyelidikan dan latihan.
JICA, agensi pentadbiran diperbadankan Kerajaan Jepun mempromosikan kerjasama antarabangsa dengan menyokong pembangunan sosioekonomi, pemulihan serta kestabilan ekonomi negara-negara sedang membangun.
Sebagai perintis projek hijau di Malaysia, Khairul Irwan dan Fukuzawa berharap usaha ini akan menjadi contoh kepada pihak lain untuk menyelamatkan ekosistem di samping meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat.
#Bukit Fraser #Majlis Daerah Raub #pelancongan #pengurusan sisa pepejal #sifar sisa buangan #sisa pepejal
;