Usaha pulihara jerung diteruskan

Bernama
Julai 27, 2017 22:02 MYT
Program di bawah projek 'Be A Shark Hero' (BASH) ini terus menganjurkan usaha memulihara jerung melalui acara melibatkan orang ramai dan media sosial sejak tahun lepas lagi. - Reuters
Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF)-Malaysia dan Shark Savers Malaysia terus berusaha untuk mengurangkan penggunaan sirip ikan yu oleh rakyat Malaysia melalui pelbagai program dari Julai 2017 hingga Julai 2018.
Program di bawah projek 'Be A Shark Hero' (BASH) ini terus menganjurkan usaha memulihara jerung melalui acara melibatkan orang ramai dan media sosial sejak tahun lepas lagi, kata ketua pegawai eksekutif Shark Savers Malaysia Abner Yap.
Menurut beliau, projek itu adalah susulan kepada kempen 'My Fin My Life' yang berakhir pada Disember 2016, yang menarik perhatian masyarakat dari seluruh negara terhadap isu memburu jerung untuk mengambil siripnya dan menjadikan sirip ikan itu sebagai sup.
"Untuk menyebarkan kesedaran tentang kepentingan menyelamat jerung secara berkesan, kami perlu mendorong orang lain supaya membuat perubahan dan menjadikan kesedaran itu tular melalui media sosial.
"Kami telah dan terus bekerjasama dengan syarikat korporat daripada pelbagai industri untuk membantu mereka menjadi lebih berjaya dalam mengubah set minda ke arah mencapai matlamat berkaitan alam sekitar ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran 'BASH' di sini hari ini.
Yap berkata projek BASH bermula dengan pelancaran kad nama 'I'm a Shark Hero' oleh Linkodes, syarikat aplikasi mudah alih kad perniagaan digital, diikuti satu siri inisiatif yang disusun untuk tahun ini dalam laman Facebook 'sharksaversmalaysia'.
"Kami akan anjur Cabaran Ultra-Marathon Antarabangsa 12 jam di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan dari 9 malam 5 Ogos hingga 9 pagi 6 Ogos bagi meningkatkan kesedaran tentang perbuatan menangkap jerung secara berlebih-lebihan di Malaysia dengan mengadakan acara larian menggunakan kostum menyerupai jerung," katanya.
Pengurus projek Shark Savers Malaysia Alicia Tan berkata satu pertandingan mereka bentuk angpau selama sebulan akan diadakan pada Oktober tahun ini bagi menyokong usaha itu, di mana individu, pertubuhan dan pelukis dipelawa mengambil bahagian.
"Reka bentuk yang memenangi pertandingan itu akan diberi penghormatan untuk dicetak pada sampul wang Shark Savers Malaysia 2018 (Tahun Anjing), dengan diberi kredit dan digunakan dalam semua saluran pengiklanan dan promosi.
"BASH Run akan diadakan pada 18 Nov di Sun Suria City, Sepang, di mana keluarga dan kanak-kanak dialu-alukan mengambil bahagian dalam larian pemuliharaan sejauh 4km," katanya.
-- BERNAMA
#jerung #Malaysia #pulihara #rakyat Malaysia #shark savers #sirip ikan yu #WWF-Malaysia
;