Usaha Hatta Dolmat mampankan fesyen melalui perlindungan marin

Nursyazwani Saiful Sham
Februari 16, 2021 05:56 MYT
Hatta Dolmat berbangga kerana orang ramai mula menerima rekaan fabrik yang dihasilkan daripada alam sekitar. - Foto Instagram/@hattadolmat_
KUALA LUMPUR : Pereka fesyen, Hatta Dolmat optimis untuk terus mempromosikan rekaan yang dihasilkan daripada sisa pembuangan.
Terbaharu, Hatta berkolaborasi dengan konservasi Ocean Hero dalam menjayakan rekaan hasil daripada sisa botol plastik melalui inisiatif Ocean'us 2021.
Kempen ini juga merupakan usaha bagi mempromosikan perkembangan industri teknologi hijau dalam teknologi penghasilan fabrik daripada botol plastik.
Dalam masa sama, Hatta berbangga kerana orang ramai mula menerima rekaan fabrik yang dihasilkan daripada alam sekitar.
“Apabila kita bercakap berkenaan kitar semula, ramai yang masih beranggapan nak ke pakai bahan-bahan kitar semula ini tetapi sebenarnya mereka tidak tahu bagaimana proses penghasilan semula ini dari sisa pembuangan.
“Saya selalu menceritakan bagaimana proses tersebut, ia adalah satu proses yang bersih termasuk melalui proses uraian untuk dijadikan sebagai material baharu. Malah sebenarnya banyak (rekaan) yang saya hasilkan bukan sahaja recycle, kami juga telah melakukan upcycle.
“Justeru apabila rekaan yang saya hasilkan ini boleh diguna pakai dan cantik untuk dimiliki, stigma berkenaan dengan penggunaan barangan sisa pembuangan itu akan hilang” katanya menerusi program AWANI Pagi pada Selasa.
Usaha Hatta Dolmat mampankan fesyen melalui perlindungan marin
Dalam perkembangan berkaitan, pengasas bersama Ocean Hero Conservation, Shirene Moong menggesa orang ramai untuk menyambut baik kempen ini sehingga dapat dipromosikan ke peringkat global.
“Kepentingan kempen ini sememangnya merupakan solusi yang amat besar kerana dalam proses menghasilkan sehelai baju dapat mengurangkan kira-kira lapan hingga 14 botol plastik dansekali gus dapat mengatasi (masalah) pencemaran botol plastik yang kini menjejaskan alam sekitar serta lautan kita.
“Justeru, sejak tajun lalu melalui KL Fashion Week kita sudah melancarkan kempen ini dan semoga akan dilanjutkan lebih mendalam di peringkat global terutamanya penerimaan daripada anak-anak muda,” katanya.
#pereka fesyen #Hatta Dolmat #Rekaan #sisa pembuangan #Ocean Hero #Ocean'us 2021 #fabrik #kitar semula