Usaha Bernard Chandran, Rizalman Ibrahim selama 25 tahun berbaloi
Bernama
Oktober 24, 2016 23:31 MYT
Oktober 24, 2016 23:31 MYT
Sepanjang 25 tahun lalu, Datuk Bernard Chandran dan Rizalman Ibrahim telah menghabiskan kehidupan mereka dengan membina nama dalam industri fesyen dan perjuangan mereka yang tidak berkesudahan ini, memikat hati Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.
Kedua-dua pereka fesyen ini tersenarai dalam kalangan 105 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Bernard Chandran menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran 'Datuk Seri' manakala Rizalman menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran 'Datuk'.
Mengulas mengenai anugerah berkenaan, Bernard Chandran berkata beliau tidak pernah bermimpi menerima pengiktirafan seperti itu kerana berpendapat hanya kakitangan kerajaan atau tokoh yang terkenal serta pemain dalam industri kritikal yang layak menerima penghormatan tersebut.
"Saya berbesar hati dan berterima kasih menerima penganugerahan ini. Percayakah anda, selepas 25 tahun dalam industri ini sebagai seorang pereka? Hari ini, seorang artis seperti saya telah dianugerahkan dengan pengiktirafan sebegini (anugerah pingat).
"Ini benar-benar memberi inspirasi kepada diri saya, anak-anak saya dan semua orang di luar sana untuk melakukan apa yang mereka percaya dengan kesungguhan dan keikhlasan. Tampilkan usaha yang terbaik dan secara sendirinya, (penghargaan seperti ini) akan dikecapi," katanya sambil tersenyum lebar.
Bernard Chandran atau nama sebenarnya Bernard Jayachandran Ramachandran berkata, anugerah yang diberikan pastinya akan menggalakkan beliau untuk memberikan yang terbaik memandangkan masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan dalam fikirannya.
"Saya masih muda dan mempunyai banyak perkara untuk dilaksanakan pada masa depan. Saya rasa, sekarang ini, ramai yang akan mengubah fikiran mereka dan membuka mata terhadap pereka fesyen dan artis, jadi ia pasti akan mendorong kita untuk melangkah keluar dari zon selesa," kata Ketua Pegawai Eksekutif, Bernard Chandran Creations itu.
Sementara itu, Rizalman menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan sempena sambutan jubli perak beliau dalam dunia fesyen dan berharap akan menjadi permulaan yang cerah kepada pereka muda pada masa hadapan.
Katanya, gelaran 'Datuk' yang diterimanya itu juga satu tangggungjawab dan amanah kerana beliau perlu lebih bijak merencana masa hadapan ekoran pandangan masyarakat terhadap gelaran itu.
"Kita harus tahu cara membawa diri kerana pandangan orang yang melihat kita sebagai ikon dalam kehidupan. Bidang seni mempunyai pelbagai cabang, dalam seni reka serta fesyen tidak ramai dalam kalangan kita menerima anugerah.
"Saya berharap penganugerahan ini akan membuka lebih banyak peluang dan menjadi inspirasi kepada mereka yang baharu berjinak-jinak dalam industri ini," katanya yang menyifatkan penghargaan itu sebagai hadiah 'jubli perak beliau' dalam bidang fesyen.
Sementara itu, bekas ketua pasukan hoki negara Mirnawan Nawawi yang menerima DIMP berkata pengurniaan itu merupakan pengiktirafan kepada keseluruhan warga sukan hoki negara, termasuk kepada mereka yang sudah bersara.
Anak kelahiran Melaka yang mewakili skuad hoki dari 1989 hingga 2002 dengan 327 penampilan mewakili negara itu, berkata pengiktirafan berkenaan membuatkannya lebih bersemangat untuk terus berbakti dalam bidang sukan, khususnya hoki.
"Saya berharap lebih banyak pengiktirafan terhadap atlet sukan akan diberikan selepas ini terutama kepada mereka yang banyak menyumbang bakti dalam pembangunan sukan pada masa akan datang," katanya.
Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang menerima SSAP berkata pengiktirafan kepada ahli sukan adalah sesuai kerana ahli sukan menggalas cabaran besar membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
"Melalui sukan juga kita dapat menyatupadukan masyarakat. Penghargaan daripada Sultan Pahang juga amat istimewa kerana baginda dan Tengku Mahkota Tengku Abdullah amat dikenali kerana bidang sukan amat dekat di hati baginda," katanya. - Bernama