Universiti di Ireland tawar kursus pengajian ijazah untuk 'influencer'
Agensi
Oktober 1, 2023 10:10 MYT
Oktober 1, 2023 10:10 MYT
SEBUAH universiti di Ireland akan menawarkan pengajian ijazah dalam bidang pempengaruh media sosial atau influencer.
Sarjana Muda Sastera dalam Penciptaan Kandungan dan Media Sosial, di Southeast Technical University di Carlow, akan dibuka untuk permohonan pada bulan November ini.
Ia dijangka menerima kumpulan pertama pelajarnya pada September 2024.
Topik yang akan dipelajari dalam kursus selama empat tahun itu adalah merangkumi kemahiran perniagaan, penyuntingan video dan audio, kajian budaya kritikal dan penulisan kreatif.
Dr Eleanor O'Leary, pensyarah media dan komunikasi di universiti itu berkata terdapat minat yang semakin meningkat terhadap bidang itu termasuk dalam kalangan pelajar dan majikan.
Jelasnya, sejak 2019, bidang berkenaan telah meningkat dua kali ganda dari segi nilai dan dianggarkan bernilai 16 bilion pound (RM91 bilion) di seluruh dunia.
"Ia adalah bidang yang memerlukan kemahiran tertentu," katanya.
"Ia menggunakan media sedia ada dan kemahiran perhubungan awam dan pemasaran tetapi ia juga merupakan satu bidang baharu yang perlu diterokai," katanya dipetik dari BBC.
O'Leary menambah, walaupun terdapat golongan yang terlibat dalam bidang itu secara tidak sengaja, kursus ini bertujuan untuk mendidik pelajar tentang cara mengekalkan penonton dan cara bekerja dengan perniagaan bagi mencari keuntungan.
"Sebagai pencipta kandungan di rumah sendiri, kebanyakan mereka mungkin tidak mempunyai apa-apa pemahaman tentang keseluruhan industri termasuk membabitkan kontrak dan agensi, serta perniagaan yang terlibat," katanya lagi.