UMT anjur program konservasi hijau, galak mahasiswa sebagai agen pemindahan ilmu
Fahmi Izuddin
Disember 11, 2023 08:40 MYT
Disember 11, 2023 08:40 MYT
SETIU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Institut Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin UMT menganjurkan program Konservasi Hijau: Santuni Komuniti di Hutan Gelam, di sini, semalam.
Program itu, antara lain memfokuskan berkenaan khasiat yang terkandung dalam pokok gelam atau nama saintifiknya Melaleuca cajuputi.
Selain itu, program yang melibatkan mahasiswa dari enam universiti tempatan dari seluruh negara ini juga bertujuan memupuk nilai kesukarelawanan dalam kalangan pelajar menerusi pembelajaran luar bilik darjah.
Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mohd Izani Mohd Zain, selain mengenali manfaat tumbuhan seperti pokok gelam, ia juga menjadikan mahasiswa sebagai agen pemindahan ilmu untuk membantu komuniti setempat.
“Kita nak libatkan mahasiswa sebagai agen pemindahan ilmu. Jadi, ini sebenarnya satu nilai yang baik kita terapkan, bagaimana mahasiswa dengan masyarakat itu berpisah tiada.
“Pembelajaran itu bukan sahaja berlaku di bilik darjah, sebaliknya berlaku secara tidak formal, di luar, dan itu yang kita terapkan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi.
“Pelajar yang hadir juga akan diberi pendedahan berkenaan menanam dan menyemai pokok gelam bersama masyarakat untuk ekstrak pokok gelam itu menjadi minyak dan dapat digunakan untuk tujuan kesihatan, kecantikan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Antara inti pati program termasuk proses pembenihan dan menyemai 300 anak benih pokok gelam di sekitar kawasan tersebut serta dan pendedahan komuniti terhadap kaedah pengekstrakan pati minyak gelam.
Menurut Izani, program ini juga memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menambah sumber pendapatan melalui ekstrak minyak pokok gelam selain memberi nafas baharu kepada penanaman pokok gelam yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Program tersebut melibatkan 80 wakil komuniti dari daerah Setiu dan 120 pelajar universiti awam hasil kerjasama UMT, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis.