Ukraine latih tentera wanita berkawad memakai kasut tumit tinggi
Agensi
Julai 11, 2021 14:00 MYT
Julai 11, 2021 14:00 MYT
KEPUTUSAN Kementerian Pertahanan Ukraine untuk melatih anggota tentera wanita negara itu berkawad menggunakan kasut tumit tinggi, dikecam pelbagai pihak.
Latihan itu adalah untuk perarakan sambutan ulang tahun ke-30 kemerdekaan negara itu pada 24 Ogos depan.
Timbalan Ketua Parlimen Ukraine, Elena Kondratyuk, bersama beberapa Ahli Parlimen menggesa Menteri Pertahanan, Andrei Taran untuk menilai semula keputusan tersebut.
"Kasut dengan tumit tidak sesuai dengan aktiviti ketenteraan dan berkawad dengan kasut tumit tinggi akan membahayakan kesihatan," kata Kondratyuk dalam satu kenyataan bersama.
Ivanna Medvid, seorang kadet di Institut Ketenteraan Universiti Nasional Taras Shevchenko Kiev, telah menjalani latihan selama lebih sebulan.
"Ia lebih sukar daripada memakai but, tetapi kami cuba," katanya.
Mereka berlatih dua kali sehari untuk memahirkan diri dan memperkemaskan setiap langkah, kata Mejar Eugene Balabushka kepada Army Inform.
Setakat ini, terdapat kira-kira 57,000 wanita yang berkhidmat dalam angkatan tentera Ukraine.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!