Turun berat badan 5kg dapat hadiah RM300

Asyraf Roslan
Januari 13, 2021 11:19 MYT
Senang je, kurang 5 kilogram anda mungkin jadi yang bertuah dapat menang RM300. - Foto Sinar Harian
HANYA dengan mengurangkan berat badan sebanyak lima kilogram sahaja anda boleh menang hadiah.
Itu merupakan tawaran yang dibuat oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram kepada pengundinya.
Memetik laporan Sinar Harian, individu yang bertuah akan memenangi hadiah berjumlah RM300 daripada ADUN Jeram.
Menerusi satu kenyataan di Facebook pada Selasa, ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata cabaran tersebut hanya terbuka kepada pengundi DUN Jeram sahaja.
"Salam pengundi Jeram. Memandangkan PKP 2.0 akan bermula mulai hari ini (Rabu), maka pejabat ADUN Jeram ingin mengajak anda untuk menyahut cabaran dengan melakukan aktiviti yang berfaedah sepanjang PKP kali ini.
"Bagi yang ingin menyahut cabaran ini, anda boleh hadir ke Pejabat ADUN Jeram untuk mendaftar dan melakukan penimbangan berat badan terkini," katanya.
Menurutnya, setelah tamat PKP, pihaknya akan memanggil kesemua peserta yang mendaftar untuk melakukan penimbangan semula berat badan.
Pengundi DUN Jeram boleh mendaftar bermula Selasa sehingga Jumaat, dari 8.30 pagi hingga 9 malam.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula oleh kerajaan berkuatkuasa pada 13 Januari sehingga 26 Januari.
BACA: COVID-19: PKP di enam negeri zon merah - Perdana Menteri
Buat anda yang berada di DUN lain ambil juga cabaran ini!
Tidak dapat hadiah tak mengapa, yang penting badan sihat dan cergas.
#berat badan #cabaran #5kg #hadiah #tawaran #ADUN Jeram #Mohd Shaid Rosli #PKP #sihat #cergas
;