Tukang jahit manfaatkan masa PKP siapkan tempahan baju raya

Bernama
April 28, 2020 05:56 MYT
Tempoh PKP beri peluang kepada tukang jahit untuk menyiapkan tempahan baju hari raya pelanggan yang telah ditempah sejak hujung tahun lalu. -Bernama
Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung sejak 18 Mac lalu, memberi peluang kepada tukang jahit untuk menyiapkan tempahan baju hari raya pelanggan yang telah ditempah, sejak hujung tahun lalu.
Pengurus Kedai Jahit Asnuri Hayati Alli, 35, berkata, meskipun tidak seperti tahun-tahun sebelum ini yang tidak 'menang tangan' menyiapkan tempahan, namun tahun ini mereka ada lebih banyak masa untuk menyiapkan tempahan pelanggan.
"Biasanya kami lebih sibuk pada bulan Ramadan dan tempahan menjahit pakaian (hari raya) akan ditutup pada bulan April, tetapi kali ini kita masih membuka tempahan sehingga seminggu sebelum raya, kerana masih ada pelanggan yang mahu menghantar jahitan.
"Dalam tempoh ini, pelanggan akan menghantar kain jahitan menggunakan perkhidmatan 'runner' dan bagi memudahkan ukuran saiz, sepasang baju akan disertakan sebagai contoh," katanya kepada Bernama.
Hayati berkata perniagaan milik keluarganya itu mempunyai tiga cawangan iaitu di Likas, Putatan dan Inanam, yang dibantu seramai 30 orang pekerja termasuk sambilan, yang kini beroperasi dari rumah.
Katanya perniagaan itu mula ditubuhkan pada 1995 sebelum ini mampu menjahit antara 1,000 hingga 2,000 pasang baju, terdiri daripada baju kurung moden, kurung asli dan jubah dengan bayaran upah bermula dari RM55.
"Walaupun tempahan memang kurang kerana dalam tempoh PKP, tetapi tidak menghalang untuk kami bekerja dari rumah bagi memenuhi kehendak pelanggan dari kawasan Penampang, Tuaran, Kota Belud dan Putatan," katanya.
Sementara itu tukang jahit yang hanya ingin dikenali sebagai Emma, 37, berkata dalam tempoh PKP ini kedai jahit yang terletak di Alam Mesra di sini, masih menyiapkan tempahan baju pelanggan.
Beliau yang juga pembantu pengurus kedai jahit itu berkata, dua orang pekerja yang tinggal di rumah kedai itu, menyiapkan tempahan yang terdiri daripada baju kurung asli dan moden, dengan bayaran upah bermula dari RM45 sepasang.
Katanya, kedai jahit itu hanya menerima tempahan baju kurung sahaja dan biasanya pelanggan terdiri dari sekitar Kota Kinabalu, Papar dan Kinarut.
"Pakaian yang sudah siap akan dihantar oleh 'runner' atau dipos kepada pelanggan," katanya.
-- BERNAMA
#baju kurung #baju raya #Hayati Alli #kedai jahit #Kedai Jahit Asnuri #perintah kawalan pergerakan #PKP #tempahan baju raya #tukang jahit
;