Tuah diberi nama Merdeka, dapat makan percuma

Bernama
Ogos 23, 2020 15:42 MYT
Mohd Merdeka Ismail, 63, memegang flash kad 'Malaysia Prihatin' dan ulang tahun ke-50 Rukun Negara semasa ditemuramah di rumahnya di Kampung Simpang Tiga, Penaga di sini. - Bernama
Kalau nak makan percuma, sebut nama tiga kali, demikian kelebihan seorang nelayan di Penaga sini yang bernama, Mohd Merdeka Ismail.
Sejak kecil, Mohd Merdeka yang dilahirkan pada 31 Ogos 1957, berasa malu dengan namanya dan sering diejek kawan-kawan sekolah, namun berbeza pula tahun ini kerana sebuah kedai kopi di Kampung Simpang Tiga, Penaga sini memberikan keistimewaan khas kepada beliau.
Beliau berkata minggu lepas, pemilik kedai kopi itu memberitahu bahawa beliau boleh makan dan minum secara percuma dikedainya pada bulan ini, dengan hanya menyebut namanya sebanyak tiga kali.
"Mula-mula saya ingat pemilik kedai kopi itu hanya bergurau...tetapi selepas saya menyebut Merdeka...Merdeka...Merdeka...pemilik kedai itu pun minta saya order apa sahaja, beliau akan belanja," katanya kepada Bernama di rumahnya baru-baru ini.
Mohd Merdeka berkata itu bukan satu-satunya perkara istimewa yang pernah berlaku pada dirinya, disebabkan namanya itu, beliau berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Negara, Kuala Lumpur apabila dijemput Yang di-Pertuan Agong ke-13 Sultan Mizan Zainal Abidin, pada 2007 melalui Himpunan Anak-Anak Merdeka diseluruh negara.
Mengimbas kembali kenangan manis bergelar anak merdeka ditambah lagi mengabadikan perkataan merdeka pada namanya, Mohd Merdeka berkata namanya yang diberikan oleh bidan kampung yang menyambut kelahirannya pada 7 pagi di Tasek Gelugor, telah menyebabkan beliau kerap mendapat habuan istimewa.
"Ramai yang tidak tahu nama itu telah menjadikan saya seperti seorang yang terkenal umpama selebriti dalam kalangan penduduk kampung sini dan juga pernah beberapa kali dijemput untuk hadir ke majlis sambutan ambang kemerdekaan," katanya.
Bapa kepada seorang anak perempuan itu juga berkata, nama ini membuatkan semangat cintakan negara menjadi lebih utuh dan berharap keharmonian yang dicapai dapat dirasai sampai bila-bila.
"Nama ini telah mengingatkan saya dan semua rakyat bahawa negara telah bebas dari jajahan dan kita harus mengekalkan keharmonian negara dan semangat cintakan negara," katanya.
Beliau berkata anaknya, Izzatul Nabila, 24, pada mula juga berasa malu dengan nama ayahnya, yang dianggap pelik oleh kawan-kawan sekolah dan sering dijadikan topik gurauan.
Namun setelah sekian lama, Mohd Merdeka berkata, anaknya kini lebih berasa bangga dengan nama itu daripada malu, kerana ayahnya memiliki nama yang serupa dengan hari kemerdekaan negara.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #Merdeka #mohd merdeka ismail #nelayan #sambutan hari kemerdekaan
;