Trend berbasikal: Fahami etika dan peraturan sebelum berkayuh
Hilmi Malik
September 28, 2020 09:16 MYT
September 28, 2020 09:16 MYT
KUALA LUMPUR : Fenomena sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat kini dilihat ibarat 'cendawan tumbuh' terutamanya akibat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Hobi yang semakin mendapat tempat itu bagaimanapun timbul beberapa isu khususnya berkaitan keselamatan selain turut mendapat kritikan warga maya di laman sosial.
Dalam keasyikan mereka menikmati sukan itu berkemungkinan ada pihak yang tidak sedar mereka sebenarnya mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain terutamanya bagi pendatang baharu yang masih belum memahami garis panduan keselamatan.
Beberapa laluan lebuh raya ketika ini menjadi tumpuan kelompok berbasikal tidak kira sama ada pendatang baharu mahupun yang sedia ada.
Menurut pengasas komuniti berbasikal Plan A, Faz Adhili berkata, tidak dapat dinafikan masih ramai pengayuh yang kurang arif berhubung isu keselamatan.
"Terus terang saya cakap ramai lagi yang tidak tahu bagaimana cara menunggang basikal dengan selamat dan cara hormati pengguna jalan raya lain.
"Saya harap pihak berkenaan dapat mainkan peranan dalam mendidik khususnya pengetahuan keselamatan," katanya.
Sementara itu, Presiden Bukit Jelutong Cycling Club (BJCC), Ahmad Salleh pula berpendapat ada pihak yang cuba mengetuai kumpulan berbasikal sedangkan ilmu pengetahuan masih tidak mencukupi.
"Ada yang baru cuba untuk 'lead' pendatang baharu yang lain jadi tak boleh nak salahkan mereka kalau mereka tak faham.
"Saya sarankan mereka bercampur dan belajar dengan mereka yang dah ada ilmu pengetahuan kemudian baru boleh bimbing kumpulan sendiri.
"Belajar bagaimana nak guna laluan dengan betul, terutamanya di laluan lebub raya yang sibuk," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Sejak kebelakangan ini, isu trending berbasikal menjadi perbualan hangat melibatkan sebahagian pihak yang mendatangkan risiko terhadap pengguna jalan raya lain sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa.
#Astro Awani
#sukan
#keselamatan
#laman sosial
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#trend berbasikal
#basikal