Trauma menyebabkan masih ramai pilih hidup membujang - Pakar

Astro Awani
Februari 27, 2024 10:50 MYT
Keluarga dan rakan terdekat dinasihatkan supaya tidak memberi tekanan kepada mereka yang masih membujang kerana setiap orang mempunyai jalan hidup yang berbeza. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Perbincangan mengenai isu perkahwinan dalam konteks masa kini lazimnya akan mengundang pelbagai pendapat dan pandangan yang berbeza.
Ketika ramai anak muda memilih menamatkan zaman bujang dengan menikahi pasangan masing-masing, tidak kurang juga sebilangan besar golongan itu yang memilih untuk bersendirian - enggan mempunyai komitmen rumah tangga.
Jika mahu disenaraikan, ada banyak alasan yang sering diberikan orang bujang jika ditanya mengapa gentar untuk memikul tanggungjawab sebagai suami atau isteri.
Lazimnya, alasan yang sangat popular ialah faktor ekonomi yang belum stabil.
Namun begitu, terdapat juga faktor lain yang menjadi penyumbang kepada sebab kenapa golongan muda memilih untuk tidak berkahwin.
Menurut Profesor Jabatan Psikologi dan Kaunseling UPSI, Prof Dr Mohd Aziz, selain daripada faktor peribadi atau memikirkan soal ekonomi yang semakin mencabar, antara sebab mereka memilih untuk hidup tanpa pasangan adalah disebabkan trauma yang pernah dialami oleh keluarga dan rakan terdekat.
Beliau berkata, pengalaman kegagalan orang terdekat dalam perkahwinan menyebabkan segelintir anak muda gentar hal itu berlaku pada mereka.
"Ada orang tak nak berkahwin (sebab) ada unsur fobia, trauma, melihat ibu bapanya cerai, suadara mara hubungan tak harmoni ini menyebabkan dia takut untuk berkawin.
"Mereka tidak mahu berkahwin, kerana takut keluarga yang dibina akan menjadi sebegitu akibat daripada fobia dan traumatik menyebabkan mereka tidak boleh jalinkan hubungan yang baik kearah perkahwinan," katanya dalam wawancara bersama program AWANI Pagi, hari ini.
Namun, kata Prof Aziz, atau lebih dikenali sebagai Pros Mas Positive di laman media sosialnya, mereka yang terdedah kepada keadaan ini boleh mendapatkan rawatan psikologi melalui kaunseling dan terapi.
Tambahnya lagi, keluarga dan rakan terdekat juga dinasihatkan supaya tidak memberi tekanan kepada mereka yang masih membujang kerana setiap orang mempunyai jalan hidup yang berbeza.
"Jika ditanya soalan sama berulang kali, ia akan menyebabkan keadaan tidak selesa lalu akan menjauhkan diri dari keadaan daripada ibu bapa ataupun keluarga,
"Kita hanya perlu beri sokongan dengan memahami situasi itu, bukan dia tidak mahu kahwin tetapi belum masanya lagi," tambahnya.
Justeru, nasihat beliau kepada mereka yang masih bujang, supaya sentiasa mencari kebahagiaan melalui apa sahaja cara.
Jika perkahwinan adalah salah satu jalannya, mereka perlu bersandar pada realiti dalam mencari pasangan dan tidak terlalu terpengaruh dengan situasi pasangan lain yang dipaparkan di media sosial.
"Media sosial turut memainkan peranan, kebahagiaan yang sering dipaparkan hanyalah 'drama' dan 'filem'.
"Realiti sebenar tidak begitu, jika berlaku sesuatu konflik dan krisis, individu terbabit akan kecewa kerana apa yang disangka berbeza dengan dipamerkan.
"Kita perlu turunkan standard, drama dan cerita orang berbeza, apa yang penting untuk berdamai dengan diri sendiri kerana setiap orang mempunyai kebahagiaan berbeza," kongsinya lagi.
Terdahulu terdapat sebuah laporan mendedahkan Malaysia berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai individu yang masih belum berkahwin.
Dapatan itu berdasarkan kaji selidik SEAAsia Stats, yang melaporkan bahawa Malaysia mempunyai sebanyak 44.68 peratus individu bujang.
#trauma #bujang #Single #bahagia
;