Tradisi adat Aceh hiasi majlis resepsi Tengku Muhammad-Tengku Natasya
Khalis Khadir
Oktober 30, 2024 23:59 MYT
Oktober 30, 2024 23:59 MYT
KUALA LUMPUR : Majlis resepsi perkahwinan diraja Pahang, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan selamat berlangsung di Kuala Lumpur.
Jika dalam istiadat di Pahang sebelum ini ia diserikan dengan istiadat merenjis, kali ini digantikan dengan majlis salam restu bagi menonjolkan kekayaan tradisi adat Aceh.
Acara dimulakan dengan ibu bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dan Datin Seri Anggraini Sentiyaki merafak sembah Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang bagi menyempurnakan salam restu.
Ia diteruskan dengan majlis santapan sambil diserikan persembahan tarian saman yang popular di Indonesia oleh pelajar Sekolah Indonesia Kuala Lumpur.
Pasangan bagai pinang dibelah dua itu diserikan lagi dengan persembahan artis Indonesia antaranya Datuk Seri Rossa, Sal Priadi, Vina Panduwinata dan Tasha Band.
Beberapa tetamu jemputan utama dalam majlis ini ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Pada Rabu, Tengku Panglima Raja Pahang Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah menyempurnakan Istiadat Menutup Kerja di Istana Abdulaziz, Kuantan menandakan berakhirnya istiadat perkahwinan diraja ini di Pahang.
Anakanda Sultan Pahang yang juga pewaris ganti kedua itu dan Tengku Natasya Puteri selamat diijab kabul dengan sekali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Balai Mahkota Istana Abdulaziz pada 24 Oktober lalu.
#Perkahwinan Diraja
#Tengku Muhammad Iskandar
#Tengku Natasya Tengku Adnan
#majlis salam restu
#adat aceh