Tony Fernandes mahu ajak kakitangan AirAsia keluar bersama?
Hasimi Muhamad
April 24, 2019 12:19 MYT
April 24, 2019 12:19 MYT
APABILA anda mendengar tagline “Now Everyone Can Fly”, semestinya individu yang terlintas dalam benak fikiran adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, bukan?
Tony bukan asing dalam industri penerbangan, malah beliau pernah melakar sejarah apabila tersenarai dalam 'World's Most Admired 2018' menerusi kategori negara Malaysia.
Lebih menggagumkan, Tony yang juga Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia menduduki tangga teratas berbanding selebriti terkenal, David Beckham dalam kaji selidik tersebut.
Jadi, dengan pengaruh dan pelbagai kejayaan besar yang pernah dikecapi anak kelahiran Kuala Lumpur itu, sudah tentu namanya begitu sinonim dalam dalam kalangan rakyat di negara ini mahupun antarabangsa.
Tetapi, jangan pelik sekiranya kami memaklumkan bahawa ada “pihak” yang tidak kenal siapa Tony, dan lebih mengejutkan pihak tersebut adalah sebahagian daripada kakitangan syarikat tambang rendah itu.
Tony menerusi kemaskini di laman sosial Twitter rasminya hari ini “mendedahkan” identiti seorang gadis yang didakwa tidak mengenali beliau.
Perkara itu terbongkar apabila Tony bertanya kepada gadis tersebut, yang dikenali sebagai AVA,:“Siapa Tony Fernandes?”
Kemudian gadis tersebut menjawab, “Saya masih dalam proses latihan dan tidak faham soalan anda. Cuba saya lagi dengan perkataan yang berbeza atau taip dalam ayat yang pendek?”
Jawapan yang diberikan gadis tersebut menyebabkan Tony mahu keluar dengan gadis tersebut.
“AVA tidak kenal siapa saya. Masa untuk keluarkan dengan dia @AirAsia,” demikian tulis Tony dalam entri tersebut, pada Rabu
Tetapi jangan risau AVA atau nama sebenarnya AirAsia Virtual Allstar merupakan aplikasi mudah alih, chatbot.
AVA yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) boleh didapati melalui ciri sembang langsung baharu untuk membalas pertanyaan para tetamu dengan serta-merta.
Dan AVA boleh membalas dalam lapan bahasa iaitu bahasa Inggeris, Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam, Korea, Cina Ringkas dan Cina Tradisional dan ia dibina oleh pasukan Kejuruteraan Perisian dan Teknologi AirAsia (AASET) serta pasukan Kebahagiaan Pelanggan menggunakan teknologi dari Ada, sebuah syarikat berpangkalan di Toronto.
Semoga AVA masih bekerja di AirAsia!
#AirAsia
#Airasia X
#AVA
#David Beckham
#laman sosial
#Malaysia
#Now Everyone Can Fly
#Tony Fernandes
#Twitter