Tonton wayang sambil menaiki gondola... Mahu cuba?
Agensi
Januari 1, 2021 13:14 MYT
Januari 1, 2021 13:14 MYT
SEGOLONGAN peminat filem di ibu negara Filipina yang bosan dengan sekatan COVID-19 berpanjangan memilih untuk merasai pengalaman menonton filem seakan-akan berada di Venice.
Mereka menaiki gondola yang dijarakkan antara satu sama lain sambil menonton filem yang ditayangkan.
Gondola itu ditempatkan mengikut aturan tertentu di sebuah terusan dalam sebuah kompleks beli-belah. Orang ramai boleh menonton filem dan ia merupakan pengalaman mengunjungi pawagam yang jarang berlaku lantaran sudah sembilan bulan berada dalam perintah sekatan.
Menurut laporan Reuters, pengasasnya, Violet Gatchalian berkata, menaiki perahu sambil menonton wayang menjanjikan satu pengalaman yang unik.
"Pusat beli-belah bertemakan Grand Canal di Venice di Manila juga antara salah satu pawagam pertama yang dibuka semula, justeru kami ingin mencubanya," jelasnya.
Pawagam di Filipina ditutup sejak pertengahan Mac apabila Presiden Rodrigo Duterte mengumumkan pelaksanaan sekatan, antara yang terketat dan terpanjang di dunia.
Dengan lebih daripada 456,000 jangkitan COVID-19 dan 8,875 kematian, Filipina antara negara paling teruk di Asia Tenggara selepas Indonesia.
Kerajaan mula membuka semula ekonomi secara beransur-ansur pada bulan Jun namun kebanyakan perniagaan yang bukan utama tetap ditutup.
Manakala di Manila, pawagam gondola dan teater pandu lalu adalah satu-satunya venue panggung wayang di kawasan itu.
Mereka yang menyaksikan filem di atas gondola itu boleh duduk sekurang-kurangnya dua orang di dalamnya dengan maksimum 10 orang setiap tayangan, serta setiap gondola itu dijarakkan antara satu sama lain.
Kemasukan adalah sebanyak 500 peso (RM42), kira-kira gaji harian minimum di Manila.
Pawagam di atas air ini bertujuan untuk menaikkan semangat penggemar filem dan membantu pekerja industri filem, kata Ketua Megaworld Lifestyle Malls, Graham Coates.
Para tetamu akan membawa fon telinga mereka sendiri dan mendengar siaran audio pada frekuensi radio yang disediakan hanya untuk mereka yang berada di dalam gondola.
Pawagam secara terbuka dilihat kembali rancak di banyak bahagian seluruh dunia selepas industri rekreasi mencari jalan untuk mengatasi kekangan disebabkan oleh wabak COVID-19.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#filem
#Filipina
#sekatan COVID-19
#Venice
#gondola
#Grand Canal Venice
#Manila
#pawagam
#Megaworld Lifestyle Malls
#shm
#weekender