Tonjolkan keindahan Islam, bukan sekadar hukuman - Dr Juanda
Ashwad Ismail
Februari 19, 2017 07:00 MYT
Februari 19, 2017 07:00 MYT
Bekas Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya menyarankan agar semua orang Islam di Malaysia memberi fokus kepada menonjolkan keindahan Islam sebagai agama yang melengkapi segenap aspek kehidupan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menegaskan, semua orang perlu menggali semula sejarah pada peringkat awal Islam dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat.
"Mereka datang dalam bentuk memberikan penawaran kepada manusia untuk berfikir.
"Mereka tidak hanya fokus kepada bagaimana untuk menghukum manusia, tetapi Rasulullah SAW fokus kepada mengajar bagaimana seseorang manusia itu hidup sebagai insan yang dikehendaki oleh Allah SWT, ruang untuk memajukan kehidupan dan menyebarkan keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan manusia," katanya semasa ditemu bual dalam Hari Ini 8 pada Ahad.
Pada masa yang sama, Dr Juanda berhujah, orang Islam secara umumnya berhadapan dengan dilema.
"Bercakap mengenai hukuman, ini dilema yang dihadapi oleh Muslim, kadang-kadang kita lupa kita ada akhirat dan hukuman adalah satu juzuk yang terlalu kecil daripada sebuah agama sedangkan agama Islam itu lebih besar," katanya.
Dr Juanda antara lain turut mengulas mengenai pandangan seorang tokoh ilmuan dan falsafah Islam, Dr Tariq Ramadan yang berpendapat dunia Islam sekarang sedang melalui revolusi intelektual secara senyap.
Masyarakat Islam di peringkat global sedang meniti arus perubahan yang menyaksikan Islam tidak lagi terperangkap dengan acuan baik daripada orang Arab mahu pun acuan patriarki Asia atau kerangka pemikiran blok barat.
Menurut Dr Juanda, fokus di peringkat global adalah agar kembali kepada asas Islam itu dan sekali gus ditonjolkan sebagai agama rahmat dan bukan sebagai agama yang sempit yang berkisar hukum-menghukum semata-mata.
"Bukan sekadar kepada kulit tetapi isinya. Ia lebih kepada bagaimana Islam itu dipersembahkan dalam bentuk perjuangan menegakkan pendidikan, keadilan sosial, ekonomi, pentadbiran, bernegara dan bermasyarakat," ujarnya.