Tomok kongsi pengalaman didik anak-anak berpuasa
Hasimi Muhamad
April 7, 2022 10:08 MYT
April 7, 2022 10:08 MYT
SETIAP kali Ramadan menjelma, pasti banyak kenangan yang mencuit hati termasuk melibatkan gelagat anak-anak ketika berpuasa.
Mengajar anak berpuasa itu bukan satu tugas mudah, namun sebagai ibu bapa, ia menjadi tanggungjawab untuk mendidik anak-anak sejak kecil agar mereka tidak terlepas merasaikan nikmat pada bulan suci itu.
Bagi penyanyi dan pelakon terkenal, Tomok, 38, dia dan isteri, Rahayu Abas, 43, mengambil pendekatan untuk tidak memaksa dalam mengajar anak-anak berpuasa.
Sebaliknya, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail berkata, sebagai ibu bapa, mereka menyemai sifat sabar dalam mendidik tiga cahaya mata mereka untuk menjalankan ibadah puasa.
Tidak lokek berkongsi telatah anak-anak setiap kali Ramadan, vokalis kumpulan New Boyz itu menambah dia dan isteri mula melatih anak sulungnya, Arrian Akid, 10, berpuasa sejak berusia enam tahun.
Begitu juga dengan anak kedua pasangan itu, Andrashah Iman, 7, kini turut dididik untuk berpuasa walaupun hanya separuh hari.
"Macam Tomok dan isteri sudah tentu kita memberitahu (anak-anak) bahawa bulan Ramadan ini banyak pahala yang kita boleh dapat kalau kita berpuasa, solat dan sebagainya. Perkara-perkara ini kita beritahu anak-anak supaya mereka faham.
"Macam Arrian sendiri pun tahun ini dia nak puasa penuh, sementara adik dia (Andra) walaupun hari pertama puasa kita cuba dan dia macam tak larat. Kami beritahu, 'tidak apa adik tiada paksaan, tujuh tahun kan, adik puasa separuh hari sahaja...'
"Jadi kita mulakan dengan macam itu (secara perlahan-lahan). Arrian masa kecil pun kita tidak terus mulakan dengan puasa penuh. Tapi lama-kelamaan Alhamdulillah, Arrian sekarang sudah boleh berpuasa penuh," katanya berkongsi telatah anak-anaknya menjalani ibadah berpuasa dengan Astro AWANI.
Berkongsi lebih lanjut, Tomok berkata, dia memahami bagaimana sukarnya pada permulaan untuk mengajar anak-anak berpuasa.
Namun, berkat kesabaran dan kesungguhan dia dan Rahayu atau lebih mesra dipanggil Ayu, kini kemanisan bulan Ramadan itu semakin dirasaikan oleh anak-anak mereka.
"Jadi lama-lama mereka faham... sekarang Arrian pada usia 10 tahun dia sudah tahu apa niat puasa dan solat tarawih. Alhamdulillah budak-budak ini kita tidak terus bagi penuh kepada dia, (tetapi) sebenarnya ia ambil masa juga," tambah penyanyi yang popular menerusi lagu Sejarah Mungkin Berulang itu lagi.
Tomok yang menimang cahaya mata ketiga, Siti Khadijah pada 4 Jun 2020 juga yakin dengan sistem ganjaran untuk mereka yang berpuasa penuh.
Bagi dia dan isteri, itu adalah cara untuk menghargai anak-anak, selain menggalakkan lagi mereka berpuasa dan beramal soleh.
"Kita cakap kepada Arrian kalau puasa penuh, nanti dapat pahala dan hari raya ayah bagi hadiah, belanja makan, atau beli barang-barang (yang diinginkan). Ini seperti ganjaran daripada saya dan isteri untuk anak-anak bagi dia lagi semangat.
"Selain itu, mereka (Arrian dan Andra) ada makanan kegemaran, jadi saya bawa mereka pergi bazar Ramadan. Macam Andra suka donut, jadi saya carikan donut dan Arrian pula suka air coklat.
"Jadi benda-benda macam itu yang bagi dia lagi semangat. Contoh, kalau puasa penuh, nikmat puasa itu memang sangat best. Selain daripada itu, sudah tentu apabila bawa pergi tarawih dan momen-momen indah itu untuk saya kenang," tutur pelakon filem Istanbul Aku Datang itu lagi.
Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri pula, Tomok berkata, dia sekeluarga teruja untuk pulang beraya di Negeri Sembilan memandangkan sudah dua tahun tidak dapat meraikan lebaran di kampung halaman berikutan pandemik COVID-19.
Pun begitu, dia dalam masa yang sama turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menjalankan ibadah puasa dan meraikan lebaran kelak.
"Saya bersyukur dapat bersama-sama dengan keluarga pada Ramadan kali ini, dan saya mengharapkan semua urusan akan dipermudahkan kepada keluarga saya dan semua.
"Kepada peminat, saya juga nak ucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong saya dari dulu sehingga sekarang," katanya mengakhiri temu bual.