"Tolong jauhkan anak daripada air gula bergas" - Doktor
Keluarga
Januari 22, 2022 10:41 MYT
Januari 22, 2022 10:41 MYT
ADA baiknya ibu ayah mempunyai kesedaran dalam pemilihan makanan dan minuman yang sihat untuk diberikan kepada anak-anak.
Ini penting dengan tujuan untuk memastikan kesihatan anak berada di tahap yang baik.
Ini kerana sebagai sedia maklum, melalui pemakanan yang diambil setiap hari boleh menjadi cerminan atau kayu pengukur kepada tahap kesihatan seseorang itu.
Bahkan menurut Dr Mazliana Mazlan, ada makanan atau minuman yang perlu dielakkan seperti sebagai contohnya minuman bergas.
Ujarnya tidak ada baiknya seseorang itu minum air bergas meskipun dilabel sebagai ‘pilihan lebih sihat’ dan dia sangat-sangat merayu agar ibu ayah prihatin tentang itu.
"Tolong jauhkan anak-anak kita daripada air gula bergas macam ini.
"Tak ada yang baik pun, walau ia berlabel ‘pilihan lebih sihat’.
"Yang banyak, hanyalah gula. Walaupun ditulis zero kalori tanpa gula, dan diganti dengan pemanis tiruan, tetap ianya bukan untuk kita jadikan sebagai minuman anak-anak.
"Gula ini, ketagih dia lebih teruk daripada ambil dadah kokain. Anak akan tidak suka pada rasa tawar dan kurang manis, jika lidah mereka sudah terlalu biasa dengan makan minum manis.
"Anak akan mudah nak tolak nasi, tak nak makan buah, tak pandang langsung sayur. Sebab deria rasa mereka hanya suka yang manis-manis sahaja.
"Sebab itu kita kena elakkan ajar anak makan yang manis-manis sangat, terutama di awal usia anak kenal makanan. Biar anak kenal manis daripada buah, sayur dan makanan segar sahaja.
5 sebab kena elakkan anak-anak daripada air bergas tinggi gula, tinggi pemanis, tinggi pewarna dan perasa tiruan.
- Tambah berat badan anak, jadikan anak di tahap obesiti.
- Anak tidak dapat menikmati rasa manis asli daripada makanan manis semulajadi contohnya buah-buahan.
- Asid fosforik daripada air bergas hakiskan kalsium daripada tulang, yang akan buatkan tulang anak tidak kuat dan mudah patah.
- Aspartame, pemanis tiruan yang banyak digunakan, beri kesan neurotoxin dan boleh rosakkan otak anak-anak.
- Pewarna tiruan, contohnya pewarna karamel, sebagai salah satu bahan yang bersifat karsinogen, membawa kepada risiko kanser.
"Sama-sama kita cuba ya, supaya anak tidak pandang langsung air macam ini. Kalau mereka sudah mula minum, sampai ke hujung usia pun mereka akan cari.
"Janganlah terpedaya walaupun ditulis label ada ekstrak stevia."
Sumber : Mazliana Mazlan
*Artikel asal di portal Keluarga
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!