'Tolong, beri saya masuk' - Kucing juga mangsa vorteks kutub
Agensi
Februari 3, 2019 08:38 MYT
Februari 3, 2019 08:38 MYT
FENOMENA cuaca sejuk yang dipanggil Vorteks Kutub yang melanda Amerika Syarikat (AS) sejak beberapa hari lalu bukan sahaja menjejaskan manusia, tetapi juga haiwan.
Seorang penduduk Brooklyn, New York, Nathaniel Styer, berkongsi kisah bagaimana dia menyelamatkan seekor kucing jalanan yang meminta tolong apabila salji tebal tiba-tiba sahaja turun.
"Kebetulan ketika itu saya bekerja dari rumah kerana cuaca buruk. Tiba-tiba saya terpandangkan kucing itu, seolah-olah sedang mengetuk dan cuba membuka tingkap rumah saya sewaktu salji turun.
"Saya kenal kucing itu kerana ia merupakan kawanan kucing jalanan di kawasan perumahan ini. Ia selalunya tidak jinak dan saya terkejut melihat aksinya itu," kata Styer kepada portal The Dodo.
Biarpun Styer tidak sukakan kucing, namun atas dasar belas, dia membawa kucing itu yang dipanggil Chunk Chunk masuk ke dalam rumah.
Kucing itu akan berada di bawah jagaan Styer sehingga keadaan cuaca kembali normal, namun Styer belum membuat keputusan sama ada mahu terus membelanya atau tidak.
"Chunk Chunk nampak lebih sesuai sebagai kucing peliharaan, jadi mungkin saya akan serahkannya kepada orang yang boleh menjaganya dengan baik," kata Styer.