"Tipulah tiada rasa malu, namun kami sudah maafkan ayah" - Mangsa simbahan asid

Mingguan Wanita
Mac 22, 2022 19:31 MYT
Jelas Dahyatul, dalam kejadian itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan turut terkena asid yang disimbah bapanya namun kecederaan keduanya tidak seteruk dirinya. - Foto tangkapan layar Mingguan Wanita
"TIPULAH tiada rasa malu, tapi ini ketentuan."
"Kami tidak simpan dendam, malah sudah maafkan ayah, kerana dia telah pun menerima hukuman." Ini luahan hati dua adik-beradik yang pernah menjadi mangsa amarah ayah mereka suatu ketika dahulu.
Sebagai manusia apatah lagi kala itu baru berusia lapan tahun ketika kejadian, sudah tentu dirinya dihimpit rasa malu. Namun lama-kelamaan gadis ini reda dengan takdir Allah.
Tipulah tiada rasa malu
Kejadian 1.30 pagi 12 tahun lalu meninggal seribu kenangan yang tidak mungkin terpadam dalam lipatan sejarah hidup saya buat selamanya.
“Dalam kejadian 8 Ogos 2010, ketika saya sedang tidur tiba-tiba wajah saya terasa panas dan sakit selepas terkena asid yang disimbah bapa,” kata Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan, 20, dari Kampung Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.
Tapi ini ketentuan
Menurutnya, walaupun kejadian sudah lama berlalu dan bapanya sudah menerima hukuman atas perbuatan itu namun dia tidak menyimpan dendam serta sudah memaafkan bapanya.
Katanya, pada peringkat awal kejadian situasinya amat sukar kerana perlu menghadapi pelbagai tanggapan negatif selain menjadi tumpuan masyarakat.
Tidak simpan dendam
Dahyatul berkata, dia mengakui tidak mempunyai kekuatan mental selepas kejadian itu memandangkan usianya ketika itu baru lapan tahun.
“Tipu sekiranya tidak malu dengan keadaan seperti ini namun saya menerima ketentuan yang sudah ditakdirkan oleh Allah dengan hati yang terbuka.
“Bapa selalu datang menjenguk saya dan adik-beradik lain sekiranya mempunyai masa terluang dan kami sekeluarga juga akrab dengannya yang tinggal di kampung sebelahan,” katanya.
Sudah maafkan Ayah
Menurutnya, akibat kejadian itu, dia kini sesekali mengalami masalah sukar bernafas berikutan keadaan hidung yang tidak sempurna.
Katanya, sekiranya diberi peluang untuk mendapatkan rawatan dia masih mahu meneruskannya kerana ingin mengurangkan kesan akibat luka yang berlaku pada wajahnya.
Jelas Dahyatul, dalam kejadian itu ibunya, Che Ku Zaimah Che Ku Awang dan adiknya, Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan turut terkena asid yang disimbah bapanya namun kecederaan keduanya tidak seteruk dirinya.
“Semoga apa yang berlaku kepada diri saya ini menjadi tauladan kepada masyarakat di luar sana supaya tidak mengambil tindakan mengikut nafsu ketika berlaku perselisihan keluarga hingga mendatangkan kecederaan kepada anak-anak,” katanya.
Artikel asal ini diterbitkan di portal Mingguan Wanita
#Nurul Dahyatul Fazlinda Mat Haizan #mangsa simbahan asid #Mohd Irfan Firdaus Mat Haizan #Che Ku Zaimah Che Ku Awang
;