Tip persediaan perjalanan jauh dengan menunggang motosikal agar lebih selamat

Maskulin
Oktober 1, 2021 08:53 MYT
Perjalanan jauh menggunakan motosikal tidak sesuai untuk anda yang ingin sampai terlalu cepat ke destinasi. -Gambar hiasan
MENUNGGANG motosikal sememangnya menyeronokkan dan cukup berbeza berbanding memandu kereta.
Pengalaman membawa kenderaan dua roda lebih mencabar dan memberikan panorama pemandangan yang jauh lebih bersifat intimasi.
Deruan angin menyapa wajah ketika menunggang motosikal sudah cukup memberikan keterujaan tersendiri.
Namun anda harus sedar satu perkara iaitu risiko menunggang motosikal lebih tinggi memandu atau menggunakan berbanding kenderaan empat roda.
Apatah lagi jika anda ingin melakukan perjalanan jauh dengan menggunakan motosikal. Ia lebih mencabar.
Namun ia boleh dilakukan tapi haruslah disertakan dengan beberapa langkah keselamatan yang rapi.
Berikut merupakan beberapa tip dan persediaan untuk anda yang mungkin berkira-kira ingin melakukan perjalanan jauh dengan menggunakan motosikal.
PENGLIHATAN JELAS
Ini terutamanya bagi anda yang mempunyai masalah rabun. Jika anda rabun pastikan anda menggunakan cermin mata yang sesuai untuk dipakai.
Atau boleh gunakan kanta lekap dengan syarat mempunyai perlindungan seperti visor ketika tunggangan motosikal.
WAKTU BERTOLAK SESUAI
Bagi perjalanan yang lebih ‘smooth’ tetapkanlah waktu bertolak yang sesuai dengan kondisi dan keadaan semasa.
Ambil tahu tentang pola cuaca atau musim kawasan yang ingin dilalui agar perjalanan tidak terganggu dengan hujan lebat, angin kencang mahupun cuaca panas terlalu terik.
KEADAAN MOTOSIKAL
Perkara paling penting sebelum mulakan perjalanan adalah memastikan kondisi motosikal pada tahap terbaik.
Sebelum mulakan perjalanan periksa keadaan tayar, rantai, minyak enjin, minyak 2T (jika menggunakan motosikal dua lejang), coolant, lampu isyarat bahagian depan dan belakang, lampu besar hadapan, lampu brek dan belakang, periksa keadaan cengkaman brek serta lain-lain komponen yang dirasakan perlu.
HENTI & REHAT LEBIH KERAP
Perjalanan jauh menggunakan motosikal tidak sesuai untuk anda yang ingin sampai terlalu cepat ke destinasi.
Tunggangan yang selamat ialah yang chill, relaks dan tidak terburu-buru.
Disebabkan itulah digalakkan untuk anda kerap berhenti rehat antara tiga hingga lima kali. Ia juga bagi menyejukkan enjin motosikal dan memastikan ia tidak rosak.
KELENGKAPAN & PERALATAN TAMBAHAN
Pastikan juga anda menyediakan kelengkapan dan peralatan mencukupi seperti baju hujan, sarung tangan, tuala kecil dan tidak lupa perlatan seperti pemutar skru, spanar dan alatan tambahan lain.
Selain itu jika anda menggunakan tayar bukan jenis tubeless, bawalah tiub spare.
Untuk tunggangan lebih baik gunakan topi keledar mempunyai visor atau anda boleh menggunakan goggle.
Pastikan juga anda memakai kasut yang sesuai dan selesa.
JAGA JARAK
Jika anda berkonvoi, pastikan untuk jaga jarak antara satu sama lain.
Jangan menunggang dengan rapat dan menjadikan kumpulan konvoi terlalu padat. Berikan ruang yang selesa untuk tunggangan lebih selamat.
Komunikasi anda dan rakan-rakan juga sangat penting. Jadi biasakan diri berkomunikasi dengan baik dengan isyarat-isyarat tangan.
DUIT MENCUKUPI
Jangan dilupakan juga untuk membawa wang tunai yang mencukupi.
Bukan apa, risau jika motosikal berdepan kerosakan dan perlu masuk bengkel, anda tidaklah tergadah atau kalut mencari wang.
Semoga perkongsian ini memberikan anda pengalaman menunggang motosikal dengan lebih selamat dan tenang!
* Artikel asal disiarkan di Maskulin.
#perjalanan jauh #risiko menunggang motosikal #persediaan perjalanan jauh #keadaan motosikal
;