Tip 'bebas sisa', elak pembaziran pada bulan Ramadan
Agensi
April 24, 2021 17:38 MYT
April 24, 2021 17:38 MYT
BERPUASA semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dalam masa yang sama, mengekalkan gaya hidup bebas sisa atau zero-waste bukanlah perkara yang mudah.
Tetapi bagi aktivis zero-waste, Elena Almeida berkata, ia hanya memerlukan perancangan dan sedikit kreativiti.
Ramadan ini, Elena membuat jadual apa yang harus dimasak setiap hari sepanjang bulan, bersama dengan resipi untuk setiap hidangan bagi mengelakkan tekanan memikirkan apa yang harus dimakan setiap hari.
Ini beberapa tip yang dikongsi Elena, seperti yang dipetik daripada portal The Star.
1. Buat jadual apa yang harus dimasak sepanjang bulan, supaya semasa anda pergi membeli-belah barangan runcit, anda sudah mempunyai senarai bahan-bahan yang diperlukan.
"Pada hujung minggu, saya juga memastikan bahawa saya menyiapkan apa yang saya perlukan untuk minggu yang akan datang, menyiapkan makanan seperti susu oat, sos pasta atau pes cili, dan membuat pasta atau roti."
2. Disiplin dalam mengikuti perancangan, supaya anda tidak membazir barang yang sudah dibeli.
3. Masak di rumah seberapa kerap yang mungkin bagi mengurangkan penggunaan sisa plastik.
4. Bawa beg sendiri ke kedai runcit. Pastikan anda cuci beg yang telah digunakan.
"Saya tidak menganggap beg kertas lebih baik kerana anda tetap perlu menebang pokok untuk mendapatkan bekalan beg kertas, jadi dari perspektif persekitaran, kita hanya menukar pencemaran plastik dengan penebangan hutan."
5. Jika anda membuat pesanan makanan, gunakan semula kotak pembungkus makanan dengan bijak dan cuba elakkan barang-barang yang tidak diperlukan seperti sudu dan garpu plastik atau cawan plastik.
"Dari segi positif, saya harap situasi sekarang bermakna hanya sedikit sisa makanan dihasilkan kerana kita perlu berjimat pada masa-masa sukar ini."
Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!