'Tindan Challenge' boleh buat anda merana sepanjang hayat!
Nursyazwani Saiful Sham
Disember 29, 2018 14:58 MYT
Disember 29, 2018 14:58 MYT
Selepas Keke Challenge dan Momo Challenge, pasti umum mengharapkan trend cabaran yang disifatkan merepek itu dihentikan.
Namun, sejak beberapa hari lalu, tular di media sosial mengenai Tindan Challenge yang memerlukan empat orang atau lebih untuk duduk, sandar, berdiri dan membongkok di atas badan antara satu sama lain.
Netizen mula memuat naik foto dan video mereka lakukan formasi yang dikatakan paling mencabar ini di platform media sosial.
Antara yang menolak cabaran ini adalah Pakar Bedah Ortopedik, Dr Mahyuddin Mohamed yang memberi bayangan ada beberapa kemungkinan sekiranya berlaku kemalangan ketika melakukan aksi ini.
“Sekiranya anda atau anak-anak ada terjatuh (ketika melakukan Tindan Challenge), anda berisiko untuk alami tulang patah, kecederaan saraf tunjang, kelumpuhan, sendi terkehel dan skoliosis.
“Tulang kanak-kanak jika tidak patah sekali pun masih berkemungkinan membengkok akibat tular lentur (greenstick fracture).
“Tulang mereka juga boleh membengkok dan memendek sekiranya terdapat kecederaan pada kawasan penumbuhan tulang (epiphyseal plate injury),” jelasnya menerusi ruangan entri di Facebook peribadinya.
Katanya lagi, cabaran yang sebegini tidak perlu ditiru kerana sekiranya berlaku kemalangan seperti lumpuh, anda akan merana sepanjang hayat.
#kecederaan saraf tunjang
#Keke Challenge
#lumpuh
#Momo Challenge
#sepanjang hayat
#Tindan Challenge
#tulang patah