Tikar mengkuang Munah masih jadi pilihan selepas 30 tahun

Bernama
Februari 14, 2021 15:43 MYT
Munah yang mewarisi bakat menganyam tikar berkenaan daripada ibunya berkata hasil jualan tikar itu digunakan dalam membantu suaminya yang dahulunya pekerja estet. - Bernama
TIKAR mengkuang anyaman Munah Othman, 64, yang mula dihasilkan sejak 30 tahun lepas di Kampung Baru Selama Estet di Bandar Baharu, Kulim masih mendapat sambutan dan menerima permintaan dalam kalangan peminat tikar itu.
Munah berkata beliau mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 keping tikar mengkuang pelbagai saiz sebulan secara tradisional yang dijual pada harga bermula RM65 hingga RM180 dari rumah.
"Pada mulanya saya anyam tikar mengkuang ini untuk kegunaan sendiri, tak sangka pula ada orang yang datang ke rumah saya berminat dengan tikar mengkuang yang saya anyam sendiri ini malah belum ada lagi pelanggan yang minta kurang harga kalau beli tikar mengkuang saya," kata wanita itu ketika ditemui Bernama di rumahnya baru-baru ini.
Beliau berkata proses menganyam tikar itu bermula seawal 8.30 pagi dengan bantuan suaminya, Abdul Khalid Man, 70, yang menyaksikan mereka masuk ke dalam hutan untuk mendapatkan daun mengkuang.
"Daun mengkuang ini ada duri dan insiden terkena duri sehingga luka jari-jemari dan tangan itu perkara biasa. Saya bersama suami mencari daun mengkuang ini dalam hutan lebih kurang dua atau tiga jam.
"Ada juga ketika saya dapatkan daun mengkuang daripada pokok yang ditanam di sekitar rumah saya ini tetapi tidak mencukupi," katanya sambil menambah sejumlah 120 helai daun mengkuang boleh menghasilkan dua keping tikar bersaiz besar.
Munah, yang mewarisi bakat menganyam tikar mengkuang daripada ibunya, berkata hasil jualan produk itu digunakan bagi membantu Abdul Khalid, dahulunya pekerja estet, menyara 10 anak mereka yang kini berusia lingkungan 24 hingga 47 tahun.
"Buat tikar mengkuang ini kena teliti dan perlu banyak bersabar kerana ada masa tertentu sahaja kerja menganyam boleh buat untuk elak daun keras (pada tengah hari misalnya, daun akan menjadi keras dan menyukarkan kerja menganyam).
"Disebabkan minat mendalam terhadap anyaman tikar mengkuang ini, jadi saya seronok dengan apa yang saya sedang buat ini," katanya.
Beliau turut menyatakan kesudian untuk mengajar dan mencurahkan segala ilmu yang dimilikinya jika ada golongan muda berminat mendalami seni anyaman tikar mengkuang itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata berdasarkan pengetahuannya, hanya Munah individu yang masih menganyam tikar mengkuang secara tradisional di daerah Bandar Baharu.
Beliau berkata tikar mengkuang buatan Munah berpotensi untuk dikomersialkan dan pihaknya berhasrat membantu wanita itu meningkatkan penghasilan produk tersebut dengan kaedah lebih berkesan selain mampu memperturunkan ilmu anyaman tikar mengkuang kepada golongan muda.
"Dia (boleh) melatih anak-anak muda yang hilang kerja dengan cara mengambil kemahiran yang ada ini untuk menjadi usahawan menjual produk kraf tangan tempatan," katanya yang ditemui ketika berkunjung ke rumah Munah.
Pada 1 Februari lepas, Norsabrina memuat naik dalam laman Facebook miliknya mengenai kunjungan beliau ke rumah Munah dan melihat sendiri wanita itu menganyam tikar mengkuang.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Norsabrina antara lain menulis beliau telah mendapatkan pihak yang boleh membekalkan warna bagi tikar mengkuang kerana Munah tidak mengetahui cara untuk berbuat demikian dan hanya mampu menghasilkan tikar dengan warna asli.
-- BERNAMA/Nurrul Huda Ahmad Lutfi

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#tikar mengkuang #tikar anyaman #Warisan #tradisi #seni kraf #munah othman #Kulim #Kedah
;