Tiga perkara perlu diketahui sebelum bercita-cita memelihara kucing Bengal

Madiha Abdullah
Oktober 29, 2017 16:00 MYT
Bengal merupakan baka kucing yang sangat aktif dan memerlukan pemilik yang sentiasa rajin melayan kerenahnya.
BENGAL atau Benggala sememangnya baka yang tidak asing dalam kalangan pencinta kucing. Tidak keterlaluan jika dikatakan Bengal digemari ramai kerana corak dan warna pada badannya yang disifatkan unik.
Namun tidak ramai sebenarnya yang tahu Bengal antara baka kucing yang sangat demanding atau mendesak perhatian pemiliknya.
Sangat aktif
Bagi pemilik kucing Bengal, Nashary Mohd Ravi, masyarakat perlu membuang tabiat membela kucing tanpa memahami karakter dan keperluan kucing itu terlebih dahulu.
"Bengal sejenis baka yang suka bersosial dengan manusia. Ia perlu sentiasa dilayan kerana sifat semula jadinya yang aktif dan agresif," katanya.
Justeru, Nashary menegaskan, adalah penting untuk pemiliknya mempunyai masa yang banyak untuk diluangkan bersama kucing Bengal.
"Bengal cepat bosan apabila tidak dilayan. Apabila bosan, mulalah ia buat perangai, contohnya rosakkan perabot atau kencing di merata-rata tempat, untuk menarik perhatian pemiliknya," ujar Nashary yang sudah sembilan tahun memelihara kucing Bengal.
Sanggup 'berkorban'
Bukan itu sahaja, pemilik Bengal juga perlu bersedia untuk menghadapi 'kemusnahan' perkakasan rumah apabila memelihara kucing ini.
"Bengal suka melompat dan memanjat. Jika anda memeliharanya di rumah, anda perlu bersedia untuk menyimpan semua barang-barang berharga di tempat yang tertutup dan tidak boleh dicapainya kerana Bengal mampu melompat tinggi," jelasnya.
Cenderung penyakit buah pinggang
Selain karakternya yang aktif, penting juga untuk pemilik mengetahui Bengal mempunyai kecenderungan menghidap penyakit buah pinggang dan masalah hati.
"Mereka yang mahu membela Bengal perlu peka dengan tahap kesihatan kucingnya. Penting untuk menjaga pemakanannya bersesuaian dengan sifatnya yang aktif," tambah Nashary.
Nashary memilih untuk memberi Bengal peliharaannya daging mentah kerana ia membantu memberi kucing itu bentuk badan yang tegap.
Selain itu, ada beberapa lagi perkara yang penting juga untuk diketahui, jika Bengal menjadi pilihan anda sebagai peliharaan.
#baka #bengal #haiwan peliharaan #kucing
;