Tiga penjelajah Kutub Utara KE7B berjaya tamatkan ekspedisi lebih awal

Astro Awani
April 21, 2017 14:42 MYT
Kejayaan menamatkan misi ekspedisi itu dimaklumkan ketua penjelajah, Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin atau Gobin menerusi panggilan telefon satelit. - Foto oleh Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin
Tiga penjelajah Ekspedisi KE7B Rentas Kutub Utara 2017 berjaya menamatkan misi penjelajahan ke titik 90 darjah Kutub Utara jam sebelas malam tadi.
Ketiga-tiga penjelajah negara itu berjaya menamatkan misi mereka lima hari lebih awal dari jadual.
Presiden KE7B, Muhammad Muqarabbin Mokhtaruddin,berkata, baki tiga kilometer terakhir menuju ke titik 90 darjah penjelajahan disifatkan paling mencabar kerana terpaksa berdepan dengan rekahan ais yang lebar dan menyebabkan mereka berusaha keras untuk menyeberangi rekahan tersebut.
Selain Muqarabbin, dua lagi penjelajah ialah atlet dualthlon dan triathlon negara, Shahrom Abdullah dan Muhammad Irwan Yusoff Abdullah.
"Dugaan memang banyak antaranya, ia tidak sama seperti Kutub Selatan kerana banyak bongkah ais pecah sebab kami berjalan atas laut beku dengan kedalaman dua ke empat meter sahaja.
Hari kedua malam kami dikejutkan dengan beruang kutub yang tak pernah kami terfikir dan bersedia dengan cabaran kami terpaksa bersatu dengan kumpulan satu lagi. Beruang tersebut cedera ditembak penjelajah lain pada ketika itu," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Ekspedisi ke Kutub Utara itu adalah aktiviti keenam KE7B selepas kejayaan lima ekspedisi lain termasuk Jelajah KE7B Kutub Selatan 2015-2016.
#Gobin #KE7B #kutub utara #Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin #rentas Kutub Utara 2017
;