Tiga bulan siapkan muskat Agong - Tukang jahit
Bernama
April 23, 2017 10:32 MYT
April 23, 2017 10:32 MYT
Tugas rumit namun rasa bangga mengatasi segala-galanya apabila sekali lagi diberi kepercayaan oleh Istana Negara untuk menyediakan persalinan Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V bagi upacara pertabalan yang akan berlangsung esok.
Ini diakui tukang jahit kenamaan, Datuk Jack M.K. Lee yang menyifatkan kepercayaan itu sebagai pendorong bagi beliau menyiapkan busana rasmi atau muskat yang mengambil masa tiga bulan untuk disempurnakan.
Beliau yang ditemui Bernama baru-baru ini berkata kesabaran dan ketekunan merupakan dua ''kunci'' utama ketika menyediakan busana berkenaan kerana ia bukan sahaja perlu disiapkan tepat pada masa tetapi ketelitian harus diberi keutamaan untuk memastikan setiap perincian dihasilkan dengan sempurna dan bermutu tinggi.
GALERI FOTO: Menjelang Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV
Muskat adalah persalinan istiadat Yang di-Pertuan Agong yang dipakai pada istiadat tertentu seperti pertabalan, pembukaan penggal Parlimen dan lawatan rasmi Seri Paduka ke luar negara.
Pakaian rasmi ini mula dipakai pada 1960 semasa pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga iaitu Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail yang diilhamkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Menerangkan proses penghasilan muskat, Jack yang berpengalaman lebih 47 tahun dalam bidang jahitan dan rekaan busana berkata motif awan larat dan bunga raya iaitu bunga kebangsaan negara akan dilukis di atas kertas.
Ia kemudian ditekap dan dilukis semula di atas fabrik bulu hitam jenis Barathea dan ''cashmere'' dari Itali.
Persalinan itu seterusnya ditekat dengan menggunakan benang bersalut emas bulion pada permukaan atas sahaja tanpa menembusi bahagian dalam busana.
Menjelas lanjut, beliau berkata benang emas yang diimport dari Perancis itu akan dipotong sedikit demi sedikit, kira-kira tiga ke lima milimeter setiap satu, bergantung kepada bentuk bunga raya dan awan larat untuk mewujudkan efek 3D.
"Benang emas ini lebih tebal daripada benang biasa dan sebab itu ia hanya boleh dijahit pada permukaan baju sahaja.
"Disebabkan struktur benang adalah seperti spring halus, jarum perlu melalui setiap potongan benang emas yang kemudiannya disulam satu demi satu di atas muskat. Benang emas sangat sensitif jika tidak dipotong dengan teliti mengikut saiz yang dikehendaki. ," katanya.
Pemilik Profimo Boutique ini pernah diberi kepercayaan menyediakan pakaian rasmi itu bagi enam Yang di-Pertuan Agong sebelum ini termasuk Yang di-Pertuan Agong ke-11 Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz dan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ketika baginda ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-12.
Jack berkata selain muskat, beliau turut menghasilkan pakaian rasmi yang akan dipakai Sultan Muhammad V pada majlis santapan diraja yang berlangsung pada malam selepas istiadat pertabalan.
Seperti muskat, pakaian rasmi ini juga bermotifkan bunga raya dan awan larat yang ditekat pada kolar dan lengan baju.
Berkongsi pengalaman, tukang jahit kelahiran Kuala Lumpur itu berkata Sultan Muhammad V merupakan pelanggan setianya hampir 20 tahun.
"Tiada masalah untuk mendapatkan ukuran baginda kerana sudah lama mengenalinya dan ukurannya sudah ada dalam kepala saya," katanya yang mula menghasilkan muskat Yang di-Pertuan Agong pada 1989.
Selain pakaian rasmi termasuk uniform ketenteraan Sultan Muhammad V, Jack juga menghasilkan kemeja dan sut baginda serta merupakan tukang jahit kepada beberapa Raja Melayu.
Sementara itu, tukang tatarias dan penjaga persalinan Yang di-Pertuan Agong, Sulaiman Ahmad, 54, berkata muskat terdiri daripada baju lengan pendek pada bahagian dalam dan jaket yang disarung pada bahagian luar dan dipakai bersama seluar dan sampin bersongket.
Ia dilengkapi dengan pemakaian Pending Diraja di pinggang yang diperbuat daripada emas 10 mutu bertatah dan bersulamkan permata delima dan di tengahnya tertera lambang Kerajaan Persekutuan.
"Kita sematkan kalung Kerajaan dan pada bahagian kiri muskat akan dipasang darjah-darjah kebesaran termasuk darjah kebesaran mengikut negeri Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Walaupun telah 23 tahun berkhidmat menguruskan persalinan Yang di-Pertuan Agong, Sulaiman mengakui beliau tetap berasa gementar.
"Kita hanya mahukan yang terbaik dan sempurna. Apabila sesuatu istiadat telah selesai dan Tuanku berpuas hati, saya juga senang hati kerana dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik," kata anak kelahiran Machang, Kelantan itu.
-- BERNAMA