Tiga beranak belajar sekelas, kongsi pentas terima ijazah

Bernama
November 21, 2016 10:24 MYT
Kapten (B) Umor Arbain Dollah, 59 (tiga, kanan), isterinya Kapten (B) Fadzilah Abdullah, 53 (tengah) serta anak mereka Zhafir Arbain, 25 (empat,kiri) berkongsi kegembiraan menerima ijazah. - Foto Bernama
Pasangan suami isteri serta seorang anak lelaki mereka berkongsi kegembiraan apabila bersama-sama menerima ijazah pada hari kedua Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini pada Ahad.
Kapten (B) Umor Arbain Dollah, 59, dan isteri Kapten (B) Fadzilah Abdullah, 53, serta anak mereka Zhafir Arbain, 25, telah menamatkan pengajian dalam bidang yang sama - Sarjana Eksekutif Pengurusan Projek Integrasi Pembinaan, di bawah program UMP Advanced Education (UMP Advanced).
Ketika ditemui pemberita Umor Arbain berkata perkara paling manis kepadanya adalah mereka belajar dalam satu kelas dan dapat berbincang bersama-sama untuk menyiapkan tugasan masing-masing yang diberikan pensyarah.
"Pada awalnya saya dan isteri belajar diploma di UMP sekitar tahun 2011, dan setelah habis pengajian ini kami berhasrat untuk menyambung pada peringkat ijazah pula dengan mengajak anak lelaki kami ini belajar sekali.
"Awalnya dia menolak, tetapi dengan dorongan dan 'paksaan' daripada kami dia bersetuju bersama kami menyambung pengajian ini pada tahun 2013 di UMP," katanya.
Mereka masing-masing mempunyai syarikat pembinaan sendiri.
Umor Arbain berkata dirinya terdetik untuk menyambung pengajian pada peringkat tertinggi untuk kepuasan diri di samping menyediakan diri dengan ilmu pengetahuan dalam dunia semakin mencabar kini.
"Saya mengakui pada usia sebegini terdapat kesukaran dalam menghabiskan pengajian sebab terpaksa bersaing dengan golongan muda yang lebih mudah faham ketika pembelajaran dan pengajaran dalam kelas.
"Saya hampir putus asa tetapi dengan adanya semangat dan sokongan anak dan isteri telah menguatkan kembali semangat saya dan akhirnya kami berjaya berkongsi pentas bersama-sama menerima ijazah ini," katanya.
Sementara itu, isterinya Fadzilah berkata dia perlu bijak menyusun jadual belajar berikutan turut sibuk dengan syarikat pembinaan sendiri.
Ini untuk memastikannya beliau tetap hadir kelas setiap hujung minggu.
"Hujung minggu inilah kadang-kadang ada banyak kerja hendak buat, tetapi saya tetap akan pergi ke kelas.
"Kami bertiga menaiki kereta masing-masing untuk ke kelas. Biasanya selepas waktu kelas, kami masing-masing mempunyai urusan melibatkan syarikat sendiri.
"Saya juga biasanya akan belajar pada lewat malam kerana waktu itu sahaja saya mempunyai masa lapang ulang kaji subjek yang telah dipelajari dalam kelas," katanya.
Zhafir pula berkata dia berasa bangga kerana dapat berkongsi pentas bersama ibu bapanya menerima ijazah berkenaan dan ini adalah pengalaman paling berharga kepada dirinya.
"Sebelum ini saya tidak mahu sambung belajar, sebab fikir sudah ada bisnes sendiri, tetapi apabila berjaya menggenggam ijazah bersama ibu bapa sendiri membuatkan saya rasa sungguh bertuah dan puas hati," katanya. -- Bernama
#Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang #Tiga beranak terima ijazah #Umor Arbain #UMP
;