Tiada lagi pengiklanan berita palsu di Facebook, Google

Syafique Shuib
November 15, 2016 17:58 MYT
Facebook dan Google masing-masing melarang laman portal yang sebar berita palsu dari menggunakan perkhidmatan pengiklanan mereka. - AFP PHOTO
DUA syarikat teknologi gergasi Amerika Syarikat Google dan Facebook kini melarang laman portal yang sebar berita-berita palsu dari menggunakan perkhidmatan pengiklanan mereka.
Lapor akhbar The New York Times, langkah ini diambil susulan berita-berita palsu yang antaranya termasuk berita-berita yang memihak kepada Presiden baharu Amerika Syarikat Donald Trump.
Salah satu berita palsu yang menjadi viral adalah dakwaan bahawa Pope Francis menyatakan sokongan kepada Trump dalam pilihan raya AS.
Google dalam satu kenyataan berkata ia tidak akan membenarkan laman web yang menerbitkan berita palsu untuk menggunakan perkhidmatan pengiklanan atas talian.
Google sebelum ini menerima kritikan kerana laman berita palsu turut mendapat ruang utama berdasarkan kata kunci yang dicari.
“Untuk kes ini, kami telah melakukan kesilapan. Kami akan sentiasa berusaha untuk membetulkan algorita kami,” kata jurucakap Google, Andrea Faville dalam satu kenyataan.
Facebook juga mengambil langkah yang sama namun ia terhad kepada iklan sahaja.
Berita-berita palsu masih boleh dikongsi oleh pengguna dan akan muncul di garis masa pengguna.
Satu kajian yang dilakukan oleh Pew Research Center mendapati 50 peratus golongan dewasa di Amerika Syarikat bergantung kepada Facebook sebagai sumber berita.
Laporan yang sama mendapati bahawa Facebook mempunyai 1.8 bilion pengguna dan ia merupakan salah satu platform utama untuk perkongsian berita.
#Facebook #Google #Kini Trending #perkongsian berita
;