Tiada idea untuk masak juadah berbuka? Tiga selebriti ini boleh membantu anda...

Hasimi Muhamad
April 20, 2022 16:00 MYT
Dari kiri Shiela Rusly, Bangman dan Khairul Aming antara selebriti yang popular dalam menghasilkan video masakan. - Foto Instagram Shiela Rusli/bangman/Khairulaming
KEPELBAGAIAN menu sahur dan berbuka puasa yang dikongsi oleh para selebriti dan pempengaruh tanah air membuka ruang kepada warganet untuk sama-sama mencuba resepi tersebut pada bulan Ramadan.
Tidak boleh dinafikan, kreativiti yang ditunjukkan oleh individu-individu berkenaan di laman sosial berjaya menarik minat peminat-peminat mereka yang tersendiri.
Kebanyakan menu yang dihasilkan khususnya pada bulan puasa tidak hanya membuat kecur air liur, tetapi juga mendapat pujian warganet.
Bukan sahaja kerana idea masakan yang ditampilkan, bahkan suntingan video dan sifat humor yang dimiliki oleh para selebriti dan pempengaruh berkenaan, mencuit hati pengikut masing-masing.
Berbaki lebih kurang 14 hari lagi tempoh umat Islam berpuasa, berikut Astro AWANI senaraikan tiga individu yang mempunyai kelebihan dan pengaruh masing-masing di media sosial khususnya dalam menghasilkan video masakan.
1. Shiela Rusly
Shiela Rusly bukan nama asing dalam industri seni Malaysia.
Pelakon, pengacara dan penerbit terkenal itu kerap berkongsi air tangan dan resepi masakan - tidak hanya pada bulan Ramadan tetapi juga pada hari-hari biasa.
Kehebatan pengacara program Ketuk-Ketuk Ramadan itu dalam bidang masakan tidak boleh disangkal.
Kelebihan yang dimiliki ibu kepada dua cahaya mata itu dalam penghasilan drama telah menonjolkan lagi sisi kreatifnya dalam menghasilkan video-video masakan.
Paling istimewa, Shiela, 50, yang memiliki lebih 2.9 juta pengikut di laman sosial Instagram terkenal dengan masakan kegemaran anak-anak dan suaminya, Azman Yahya atau mesra disapa sebagai Tok Sidang.
Tak percaya? Tengok video-video masakan dikongsi 'sis Shiela', bukan berbuka sahaja, menu 'moreh' pun ada!
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
2. Khairul Aming
‘HEY what’s up guys’ - itu tagline wajib setiap kali anda menonton video yang dimuat naik oleh selebriti masakan popular, Khairul Aming.
Pemuda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu mencipta fenomena sejak 2016 melalui penghasilan video dan resepi masakan.
Pemilik nama sebenar Khairul Amin Kamarulzaman menempa populariti di media sosial kerana keunikan video tutorial masakan yang dikongsinya sehingga tular dan menjadi bualan ramai.
Setiap kali Ramadan, dia akan tampil dengan menu-menu tersendiri.
Untuk Ramadan tahun ini, Khairul Aming menyajikan content masakan berkonsepkan 30 hari 30 resepi.
Dan buat pertama kali, jejaka berusia 30 tahun ini memperkenalkan masakan secara langsung di Instagram dan TikTok pada waktu petang sepanjang Ramadan tahun ini.
Ini menu-menu yang pasti seronok untuk anda cuba di bulan Ramadan.
3. Bangman
Teknologi dan media sosial membuka ruang dan peluang kepada individu untuk tampil bergiat aktif dan membina 'fan base' sendiri.
Antara yang turut mencuri tumpuan ialah pencipta kandungan dikenali sebagai Bangman atau nama sebenarnya Muhammad Aiman Salim.
Mempunyai sejuta pengikut di aplikasi TikTok, pemuda berusia 26 tahun itu juga mempunyai kelainan dalam mencipta video-video masakan.
Daripada menu simple sehingga kepada menu ala western - semuanya ada untuk tatapan pengikutnya. Selamat mencuba!
#Khairulaming #Shiela Rusli #Bangman #jendela ramadan
;