Tiada halangan laksana ibadah ketika Ramadan walaupun PKP - Ustaz Azhar Idrus

Najmi Syahiran Mamat
April 8, 2020 11:57 MYT
Ustaz Azhar memberi peringatan bahawa teknologi serta gajet juga salah satu nikmat yang sepatutnya digunakan dengan betul. - Gambar Instagram / drzulkifli.albakri
Dalam meghitung hari bila arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan berakhir, umat Islam ketika ini juga menantikan kehadiran bulan Ramadan.
Menuju 15 hari sebelum umat Islam melaksanakan ibadah puasa, situasi negara berdepan pandemik COVID-19 sedikit sebanyak memberi kesan kepada beberapa penganjuran dan pelaksanaan ibadah umat Islam yang melibatkan perhimpunan ramai.
Namun, bagi penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, sekiranya PKP dilanjutkan sekalipun, itu bukanlah penghalang kepada umat Islam untuk melaksanakan ibadah pada bulan penuh kemuliaan.
Sebaliknya, beliau berkata, pelaksanaan PKP pada bulan Ramadan harus dilihat sebagai satu nikmat dan ruang yang lebih baik kepada umat Islam untuk memperbaiki amalan selain dapat menjauhi daripada berbuat maksiat yang akhirnya boleh mensia-siakan ibadah puasa.
“Kalau bercakap mengenai ibadah puasa, tiada masalah, lebih baik kita berkurung di rumah. Dalam ujian, ada nikmat dan inilah kelebihannya.
“Contohnya, bila kita berpuasa ketika ketiadaan PKP, pasti kita akan keluar rumah dan ketika dalam keadaan khalayak ramai, kita terdedah dengan pelbagai maksiat,” katanya.
Beliau berkata, orang yang melihat situasi ini dari sudut pandang kebaikan untuk akhirat, pasti akan merasakan mereka adalah golongan yang beruntung ekoran dapat menjauhi daripada maksiat ketika berpuasa.
Beliau berkata demikian semasa menjayakan sesi soal jawab bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi ‘live streaming’ di Instagram rasmi masing-masing pada Selasa malam.
Ditanya mengenai pelaksanaan solat terawih pula, Ustaz Azhar Idrus berkata, PKP juga tidak menghalang umat Islam untuk mengerjakan ibadah sunat terawih meskipun perlu dibuat di rumah masing-masing.
BACA: Tiada majlis berbuka puasa dan solat terawih Sultan Selangor bersama rakyat tahun ini
Katanya, mengerjakan solat terawih dirumah bersama ahli keluarga bukanlah sesuatu perkara asing kerana melihat contoh pada zaman Nabi Muhammad SAW, baginda juga melaksanakan solat terawih di rumah sebelum pergi ke masjid.
“Itu perkara biasa jika ingin melaksanakan solat terawih di rumah, cuma bezanya kita tidak boleh berniat iktikaf di rumah.
“Namun, ulama ada bersepakat sekiranya kita sudah biasa dengan berniat iktikaf di masjid, tiba-tiba ada uzur syarie (uzur yang diterima syarak) yang menghalang dan kita tetap berniat iktikaf di rumah, maka pahalanya sama seperti kita berniat iktikaf di masjid,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr Zulkifli turut bertanya mengenai sikap rata-rata masyarakat terutamanya golongan muda yang terlalu lalai menggunakan teknologi sehingga meninggalkan urusan ibadah lain sepanjang PKP.
Ustaz Azhar memberi peringatan bahawa teknologi serta gajet merupakan antara nikmat yang sepatutnya digunakan dengan betul.
Umat Islam, katanya, perlu memanfaatkan teknologi dengan perkara-perkara yang memberi kebaikan kepada diri selain bersikap berpada-pada dalam menggunakannya.
“Berilah apa sahaja kemudahan teknologi, tiada masalah sekiranya kita pandai menggunakannya dengan cara yang betul dan janganlah terlalu taksub sehingga kita hanyut dalam nikmat diberikan,” katanya.
Terdahulu, pengumuman pembatalan bazar Ramadan di beberapa buah negeri secara jelas menghampakan sesetengah pihak yang bukan sahaja dapat meluaskan rezeki para peniaga, tetapi juga memudahkan umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa.
BACA: Bazar Ramadan tidak dibenarkan jika PKP lanjut
BACA: COVID-19: Kerajaan Selangor batal penganjuran bazar Ramadan
#Bazar Ramadan #bazar ramadhan #COVID19 #koronavirus #perhimpunan #perintah kawalan pergerakan #PKP #puasa #Ramadan #solat terawih #Sultan Selangor
;