Think Quran lain daripada yang lain
Sinar Harian
Februari 19, 2024 08:00 MYT
Februari 19, 2024 08:00 MYT
SHAH ALAM: Umat Islam yang mahu khatam dan memahami makna sebenar kalam ALLAH SWT boleh menggunakan Think Quran kerana aplikasi itu amat memudahkan.
Demikian dikongsi penyanyi dan penyampai radio, Asmawi Ani atau lebih dikenali sebagai Mawi yang menyifatkan Think Quran istimewa dan lain daripada aplikasi lain.
Jelas Mawi, tidak dinafikan terdapat banyak aplikasi yang sama ditawarkan secara digital, bagaimanapun tidak banyak aplikasi yang menawarkan perkhidmatan memahami ayat-ayat al-Quran yang dibaca seperti terdapat pada Think Quran.
“Tawaran yang tersedia dalam Think Quran untuk orang ramai memahami makna setiap ayat al-Quran menjadikan ia istimewa berbanding aplikasi lain.
“Selama ini, apabila kita baca al-Quran kita hanya fokus kepada bacaan (tajwid dan mahraj).
"Cikgu hanya mengajar sehingga kita pandai mengaji dan khatam al-Quran.
"Tidak banyak kita jumpa cikgu yang boleh mengajar kita maksud ayat al-Quran yang dibaca.
“Apabila saya menemukan Think Quran, saya rasa aplikasi ini mudah untuk kita belajar kerana menyeronokkan dan tidak membosankan,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Think Osem Sdn Bhd di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan aplikasi Think Quran sudah mula digunakan secara meluas oleh orang ramai sejak kempen #FahamKhatamAlQuran dilancarkan pada 12 Januari lalu.
Kempen berkenaan diadakan untuk menggalakkan orang ramai memahami setiap perkataan dalam kitab suci tersebut sempena kedatangan bulan Ramadan.
Dalam pada itu, Mawi memberitahu, aplikasi berkenaan begitu menyeronokkan apabila ia menyediakan kuiz khusus untuk menguji tahap kefahaman pengguna terhadap ayat al-Quran.
“Dalam tempoh sebulan penggunaan aplikasi Think Quran, saya sudah belajar bermula daripada surah al-Fatihah dan kini memasuki ayat ke-255 (ayat Kursi) dalam surah al-Baqarah.
“Alhamdulillah, saya seronok dengan sesi pembelajaran bersama Think Quran.
"Saya tidak mahu belajar terlalu laju, risau nanti kurang faham dan ingat,” ujarnya.
Ditanya mengenai perubahan selepas menggunakan aplikasi tersebut, Mawi memaklumkan, kini beliau lebih menghayati nilai-nilai setiap kalam ALLAH.
Malah, beliau turut memperluaskan penggunaan aplikasi itu kepada ahli keluarganya.
“Saya tidak mahu orang yang saya kenal hanya tahu membaca (al-Quran).
“Lebih baik kita didik anak-anak memahami bahasa al-Quran dan maknanya sewaktu mereka masih kecil.
"Ingatan mereka lebih kuat dan proses pembelajaran juga menjadi lebih cepat,” katanya. - Sinar Harian