Teroka tawaran hebat pelancongan dalam negeri di MAH Domestic Tourism Fair 2024
Israr Khalid
Jun 12, 2024 12:21 MYT
Jun 12, 2024 12:21 MYT
KUALA LUMPUR:
Bersempena ulang tahun ke-50, Persatuan Hotel Malaysia (Malaysian Association of Hotels, MAH) dengan bangganya menganjurkan Pameran Pelancongan Domestik (Domestic Tourism Fair) untuk mempromosikan pelancongan domestik negara.
Acara julung kali ini menjadi platform penting memupuk dan memekarkan jalinan terus antara perniagaan dengan khalayak awam, berlangsung selama dua hari pada 6 dan 7 Julai 2024 bertempat di Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menawarkan hospitaliti tiada tandingan, lebih 5,000 baucar wang tunai bernilai RM50 setiap satu akan diagihkan kepada setiap pengunjung yang membuat sebarang pembelian pada acara tersebut. Siapa cepat, dia dapat.
Bercakap tentang memberi tumpuan kepada pelancongan dalam negara, Naib Presiden MAH merangkap Pengerusi Penganjur MAH Domestic Tourism Fair, Datuk Khoo Boo Lim berkata, ini satu usaha untuk memperbetul persepsi orang ramai tentang pelancongan domestik.
“Sejak belakangan ini dek kerana keadaan yang di luar kawalan kita, hotel-hotel di Malaysia dilihat sebagai mahal oleh orang tempatan.
“Dengan inisiatif ini, kami mensasarkan untuk menjadikan penginapan mewah lebih mudah diakses dan mampu dinikmati, pada masa sama menggalakkan orang ramai untuk meneroka destinasi menakjubkan di sini, di rumah kita, Malaysia.”
Masuk percuma di Pusat Pameran, Tingkat 5 (Zon Pink) dari 10 pagi hingga 9 malam, pameran bakal menampilkan barisan pempamer dan peserta daripada segenap spektrum industri hospitaliti, meliputi penginapan hotel yang memikat, bufet mewah, pengalaman kesihatan dan spa yang meremajakan, serta tawaran perkahwinan yang mempesonakan.
Disediakan akses kepada diskaun hebat, tawaran ‘early bird’ dan pakej kembara yang unik yang hanya boleh didapati di pameran ini, menjadi tempat terbaik untuk pengunjung mencari pengisian buat jadual kembara mereka.
Di samping pameran dan jualan, pelbagai pengisian turut disusun untuk memenuhi jadual acara seperti persembahan pentas, sesi perbincangan panel dan cabutan bertuah serta berpeluang memenangi baucar hadiah percuma bernilai lebih RM300,000.
Untuk maklumat lanjut tentang acara ini, layari www.mahfair.my.