Teroka destinasi baharu, RareTV lancar misi kembara Artik
Astro Awani
Julai 31, 2022 11:30 MYT
Julai 31, 2022 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Minat yang berterusan untuk berkongsi pengalaman secara visual tentang sesuatu destinasi, menjadi kekuatan dalam penyediaan kandungan.
Itu yang dibawakan saluran YouTube, RareTV, yang sebelum ini sudah mencuri perhatian dengan siri kembara ke lokasi yang lazimnya tidak terjangkau dengan pakej pelancongan biasa.
Dalam projek terbaru mereka, Rare TV melancarkan misi ke Iceland dan Norway menerusi kembara Artik, dengan menyenaraikan beberapa lokasi menarik untuk diteroka termasuk Grimsey dan Pulau Svalbard.
Kembara ke Norway akan bermula 2 Ogos ini, manakala Iceland pula pada 4 Ogos, membawa dua hos bersama dua peserta.
Dalam satu kenyataan, Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP) yang merupakan pemilik saluran berkenaan memaklumkan, pengembaraan akan berlangsung selama 20 hari dan akan disiarkan sebanyak 13 episod bermula September pada hari Selasa dan Jumaat.
"Pengembaraan ke Iceland diketuai oleh Pengsas RPWP sendiri, Saiful Nang dan dibantu oleh Kapten Syibli Fakih. Turut serta ialah dua orang usahawan, Fared Masrom dari Port Dickson dan Osman Ali dari Singapura.
"Kembara ke Norway dan Pulau Svalbard pula diketuai Akhmal Asyraf Mohd bersama Shauqi Hasan bersama usahawan, Zarif Azrie Zahari dan Zarul Shafiz Zahari yang akan melakukan misi berbaju Melayu sehingga hujung dunia," menurut kenyataan itu.
Rare TV yang dimulakan pada tahun 2020 kini telah mendapat langganan kira-kira suku juta pengikut dengan tontonan sehingga hampir dua juta setiap bulan.
Bermula dengan niat menjadi jendela dunia ke saluran siaran dalaman penghuni RPWP, sekumpulan pendidik ini akhirnya berjaya mencuri tumpuan warga Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Lebih 10 negara telah diterokai antaranya Turkiye, Palestin, Switzerland, Pakistan, Sepanyol, Morocco, New Zealand dan Itali yang turut menyajikan kandungan berbentuk pendidikan kepada penonton.
Saluran itu juga telah dianugerahkan Konten Travelog Terbaik YouTube oleh Tourism Selangor, baru-baru ini.