'Terlalu ramai rakyat Malaysia tidak sihat' - Pakar IJN

T K Letchumy Tamboo
Jun 8, 2016 22:13 MYT
Terlalu ramai rakyat Malaysia tidak suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran, kata Mary.
Masalah peningkatan risiko penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan paras kolesterol dalam darah bukan hanya sesuatu yang perlu ditangani oleh seseorang individu, malah ia memerlukan usaha pembanterasan diperingkat kebangsaan.
Ini adalah pendapat Ketua Pakar Pemakanan Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw yang berkata kita boleh mencontohi negara jiran kita, Singapura, dalam hal ini.
"Kita kena buat diperingkat kebangsaan. Contohnya, kita boleh ada tempat menjual makanan seperti medan selera yang tertentu mengikut gaya Singapura, di mana negara itu memberi insentif kepada medan selera yang menghidangkan makanan sihat seperti mi sup dan masak pindang.
"Harga makanan sihat lebih rendah kalau dibandingkan dengan makanan yang digoreng. Ini juga dilakukan di peringkat sekolah, di mana mereka yang suka makanan bergoreng, kena bayar lebih dan mereka yang suka makanan sihat boleh bayar kurang.
"Ini memberi insentif kepada orang untuk makan makanan yang sihat. Selain daripada itu, kita kena pantau tempat-tempat makan. Di Malaysia, kita boleh makan di mana-mana. Tetapi di Singapura, kita tidak akan nampak gerai-gerai di lebuh raya atau jalanan, contohnya.
"Perkara seperti ini dapat mengawal perasaan untuk makan," katanya.
BACA: Risiko penyakit tidak berjangkit semakin meningkat di Malaysia - Subramaniam
Kata Mary, lagi penting untuk kedai makan 24 jam, yang banyak terdapat di negara kita, harus menamatkan operasinya selepas pukul 12 malam kerana ia banyak menyumbangkan kepada budaya 'makan berlebihan'.
"Ini adalah satu budaya orang Malaysia... makan sambil menonton bola sepak dan sebagainya. Saya cadangkan kita hadkan tempat makanan sehingga pukul 12 malam. Dengan cara ini kita boleh kawal budaya makan selepas tengah malam," katanya.
Sementara itu, Mary berkata di peringkat individu pula, terdapat pelbagai punca penyakit tidak berjangkit meningkat saban tahun akibat tidak suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Banyak puncanya. Kurang senaman, tabiat makanan yang tidak betul dan makan tidak ikut waktu.
"Rakyat Malaysia juga tidak suka makan buah-buahan dan sayur-sayuran. Banyak alasan mereka. Buah-buahan dan sayur-sayuranlah paling bagus kerana ia mempunyai banyak antioksidan serta vitamin dan mineral yang berkhasiat untuk badan kita.
"Tidur yang mencukupi juga adalah sangat penting. Ramai pesakit yang datang ke IJN tidak cukup tidur. Mereka hanya tidur dalam lima jam sehari. Mengikut kajian, seseorang itu harus tidur sekurang-kurangnya tujuh jam."
Baru-baru ini, Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati bahawa sebanyak 3.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes dan 6.1 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menghidapi penyakit hipertensi.
Tinjauan ini turut mendapati bahawa 9.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah.
#makan sihat #makanan sihat #Mary Easaw #pemakanan seimbang #penyakit tidak berjangkit
;