Terkial-kial main ski, tetap sampai ke Olimpik, Swaney harap jadi inspirasi

Agensi
Februari 20, 2018 09:23 MYT
Walaupun menerima kritikan, Swaney berharap apa yang dilakukannya itu menjadi inspirasi buat orang lain. YouTube
ATLET ski Hungary, menjadi perbualan ramai selepas video dia bertanding di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang tular di laman sosial.
Dalam video itu, Elizabeth Swaney, 33 tahun, dilihat bukan sahaja tidak mampu melakukan sebarang trick, dia juga gagal melakukan dua basic runs, yang merupakan asas dalam pertandingan ski.
Kegagalan itu menyebabkan Swaney, yang menurut laporan didakwa berjaya ke kejohanan itu menggunakan pengaruh ahli keluarganya, menamatkan pertandingan di tempat terakhir.
Walaupun menerima kritikan, Swaney, lulusan Universiti Harvard, berharap apa yang dilakukannya itu menjadi inspirasi buat orang lain.
"Saya mula bermain ski ketika berusia 25 tahun, dan sejak itu saya sentiasa memasang impian untuk beraksi di peringkat Olimpik.
"Mungkin anda merasakan saya tidak layak, tapi saya berusaha keras untuk sampai ke tahap ini.
"Saya berharap masyarakat melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif dan melihat ada masa depan untuk wanita dalam acara sukan ski di Hungary," kata Swaney seperti yang dipetik portal The Sun.
Untuk rekod, semua atlet perlu berada dalam senarai 30 terbaik dalam acara berstatus antarabangsa untuk sampai ke Olimpik, dan Swaney dipercayai melakukannya dengan cara membuat safe run, selain memastikan dia tidak jatuh untuk sentiasa memperolehi mata.
#Elizabeth Swaney #Hungary #laman sosial #Olimpik #Olimpik Musim Sejuk #Pyeongchang #ski #sukan #Tular #video #wanita
;