Terkenang keluarga saat berpuasa di perantauan, ini kisah bakal doktor di Rusia

Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki
April 13, 2022 09:00 MYT
Ahmad Ashraf Haiqal (dua dari kiri) bergambar kenangan semasa berbuka puasa bersama rakan-rakannya di pinggir Sungai Volga iaitu sungai terpanjang di Eropah. - Gambar koleksi AHMAD ASHRAF HAIQAL
VOLGOGRAD: Berpuasa di perantauan, jauh dari Malaysia dan keluarga, sudah pasti mempunyai pelbagai cabarannya.
Selain terkenang adik-beradik dan rindukan suasana ceria Ramadan di tanah air, berpuasa di luar negara ada kelainan, baik dari sudut cuaca, tempoh berpuasa yang panjang bagi negara-negara yang kini dalam penghujung musim sejuk selain komuniti Islam yang lebih kecil.
Ini adalah kisah saya berpuasa, kali kedua, di perantauan, di sebuah negara asing bumi bekas Soviet, Rusia.
Sudah tiga tahun saya berada di Rusia. Tahun pertama, berpuasa panjang sehingga 18 jam semasa Mei 2020, ketika COVID-19 landa dunia, tanpa terkecuali di Rusia.
Tahun 2021, saya berpuasa di tanah air selepas pulang disebabkan khuatir dengan trend jangkitan COVID-19 yang tinggi di negara itu.
Malah, kelas juga diadakan secara dalam talian untuk tempoh lebih setahun apabila sempadan Rusia hanya dibuka pada Januari 2022.
Tahun ini, kali kedua saya menyambut Ramadan di Rusia, bersama-sama sembilan rakan Muslim dari Malaysia.
Rusia negara empat musim, kini di penghujung musim sejuk dan akan beralih ke musim bunga pula akhir minggu ini.
Tempoh masa berpuasa di musim sejuk dan bunga di Rusia, tidak seperti Malaysia, kerana di sini agak lama iaitu sehingga 17 jam dan akan menjadi 18 jam di akhir Ramadan.
Sewaktu musim sejuk, waktu Subuh di sini jatuh antara jam 3 hingga 3.30 pagi dan waktu berbuka puasa pula pada sekitar jam 6:30 petang.
Manakala di musim bunga, waktu Subuh ialah antara jam 4 hingga 4.15 pagi dengan waktu berbuka pula sekitar 7.30 malam.
Kalau kita dapat berjumpa kalendar Islam di mana Ramadan jatuh waktu musim sejuk, itu yang sangat dinanti-nantikan sebab jangka masa berpuasa pendek dan cuaca dingin sepanjang hari.
Itu saya anggap sebagai satu hadiah, bukan untuk saya sahaja tetapi bagi mereka yang berpuasa di negara yang beriklim sejuk.
Bagaimanapun, jika beralih ke musim bunga dan panas kemudiannya, suhunya hanya 24 hingga 25 darjah Celsius sahaja dan yang bezanya adalah cuacanya kering dan kita kurang selesa dengan kelembapan udara yang rendah.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Keadaan ini, saya tidak alaminya pada Ramadan tahun ini tetapi pernah berdepan cabaran berpuasa selama 19 jam ketika kali pertama datang ke Rusia pada hujung 2019, di musim panas, di mana bulan puasa jatuh pada Mei 2020, semasa COVID-19 melanda dunia dan Rusia menjadi negara kedua tertinggi di dunia catat jangkitan kes selepas Amerika Syarikat.
Tahun ini, yang berbeza ialah berpuasa di Rusia ketika mana negara itu dikenakan pelbagai sekatan kerana menceroboh Ukraine Februari lepas.
Kesannya, tiada secara langsung kepada waktu berpuasa itu sendiri tetapi ada impaknya kepada kuasa membeli juadah Ramadan apabila hanya mata wang Ruble sahaja diterima.
Malah, kiriman wang daripada keluarga di Malaysia juga berdepan masalah apabila kad kredit atau kad debit Mastercard dan Visa disekat penggunaannya.
Dolar Amerika juga tidak laku di Rusia, malah tidak boleh ditukar kepada Ruble walaupun mata wang Rusia itu kini rendah nilainya berbanding Dolar Amerika dan Ringgit Malaysia.
Kerisauan pelajar seperti saya dan rakan-rakan ialah kami akan kehabisan wang sedia ada di dalam bank untuk semua urusan di sini, bukan sahaja untuk membeli makanan di bulan Ramadan, tetapi juga pembayaran yuran tahunan yang perlu dilangsai pada September setiap tahun.
Jika perang berlanjutan lebih lama dan sekatan masih dikuatkuasakan, wang kami akan habis dan cuma boleh bertahan, paling lama sehingga Ogos.
"Nak beli juadah puasa masih boleh, cukup sehingga akhir puasa. Boleh juga bertahan selepas Hari Raya. Tetapi jika lebih lama, wang tidak boleh dikirim, ini agak bermasalah.
“Mana nak fikir belajar, nak fikir ada duit ke tak ada, ini yang susah, ini cabarannya,'' kata rakan saya, Aiman apabila ditanya jika beliau ada berdepan masalah sejak apa yang berlaku di antara Rusia dan Ukraine.
Di sebalik itu, berpuasa di musim sejuk, ketika adanya kesan sekatan dan dalam kesibukan belajar di Tahun Tiga pengajian, sememangnya mencabar dan perlukan tahap kesabaran yang tinggi.
Mana tidaknya, saya kini di semester dua Tahun Tiga dan akan memasuki Clinical Years tidak lama lagi. Jadual belajar untuk semester pengajian ini, sangat padat dan meletihkan.
Bayangkan, kelas bermula seawal 8 pagi (12 tengah hari waktu Malaysia) dan berakhir pada 8 malam (12 tengah malam waktu Malaysia).
Pada tahun ini, kerana jadual yang padat itu, saya pernah beberapa kali berbuka di universiti, semasa kelas sedang berlangsung.
Dan, juadahnya, cuma pisang, air dan beberapa keping dumpling Rusia dibeli lebih awal di kafe halal berdekatan universiti.
Saya tidak pernah berkesempatan berbuka puasa beramai-ramai dengan komuniti Islam di Rusia, yang ramainya dari Uzbekistan, Tajikistan dan Turkmenistan.
Daripada apa yang saya dengar, ada mini bazar Ramadan dikendalikan oleh komuniti mereka.
Namun, masakannya tentu sekali berbeza dan kita sebagai orang Melayu, walaupun di Rusia, mungkin mencari sesuatu yang pedas dan berkarbohidrat. Di sini, malangnya, semua makanan perlu dicicah dengan roti dan sup tomato.
Di Volgograd, tempat saya belajar, terdapat kurang daripada 20 pelajar Malaysia beragama Islam dan kami tidak sering berbuka puasa bersama atau mengambil giliran memasak disebabkan jadual padat dan berlainan untuk setiap tahun pengajian.
Tetapi, kami pelajar Malaysia rapat dengan penduduk tempatan yang boleh berbahasa Melayu.
Sebagai contoh, seorang cikgu di universiti tempat saya belajar ada mengajak kami ke rumahnya.
Pada setiap petang sebelum berbuka, cikgu ini, Alena, akan menghantar video dan bertanyakan kepada kami apa menu berbuka puasa.
Setiap kali, cikgu bertanya saya cuma jawab, "Kami berbuka dengan makan nasi, jika tidak sempat masak, makan roti cheese dibeli di kedai bakeri berhampiran stesen Metro sebelum sampai ke asrama."
Saya tidak pernah sampai ke rumahnya, walaupun beberapa kali diajak. Saya teringin melihat bagaimana penduduk tempatan berpuasa dan bagaimana mereka berbuka.
Tetapi rakan Muslim Rusia saya berkongsi bahawa, jika berbuka puasa di rumah warga Muslim Rusia, kita perlu bersedia dengan selera yang besar kerana memang banyak sangat makanan.
Bila kekenyangan, mereka akan menambah nasi lagi. Kenyataan ini yang membuatkan saya terkenang saat berbuka puasa di Malaysia bersama keluarga.
Bahawa ada pelbagai juadah, manis, masam, aneka sayur, air pelbagai jenis terhidang di atas meja, walaupun semasa waktu sahur, hidangan itu belum tentu habis.
Pernah sekali, kerana teringin makan dan berbuka nasi dengan ayam masak merah, sebagaimana ibu saya hasilkan, saya dan Hilman gigih mencari beras dan ayam di pasar raya.
Saya masak nasi dengan yakin sehingga waktu berbuka baru menyedari beras kanji yang saya beli, bukannya beras biasa untuk nasi.
Rasa sedikit sedih, tetapi nasib baik ayam masak merah menjadi, maka terubat sedikit rasa sedih melihat nasi lembik yang dimasak.
Tambah sedih, beras itu, saya beli banyak untuk stok bekalan, dan saya sebenarnya berhasrat untuk bertanyakan ibu saya bagaimana mahu hasilkan nasi hujan panas dan nasi mentega.
Nampaknya, saya perlu berbuka puasa dengan menu bubur sahaja selepas ini sehingga beras itu habis dimasak. Inilah dugaan di bulan Ramadan buat pelajar di perantauan seperti saya.

* Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki merupakan pelajar dari Malaysia yang sedang mengikuti pengajian dalam jurusan perubatan di Volgograd State Medical University, Rusia.

** Artikel ini merupakan pengalaman peribadi penulis.

#Ramadan #berpuasa di Rusia #puasa di perantauan #komuniti Islam di Rusia
;