'Terkejut dapat keputusan SPM, rasa nak sujud syukur' - Farah Marcella

Astro Awani
Mac 20, 2017 20:54 MYT
Farah Marcella (tengah) akui berdepan cabaran untuk membuat persediaan SPM dalam masa hanya dua bulan.
Pelajar yang mendapat perhatian susulan kejayaan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun terpaksa tinggal menumpang di pusat snuker, memberitahu dia cukup gembira dan bersyukur dengan keputusan yang diperolehinya.
Ujar Farah, dia langsung tidak menyangka kerja keras selama dua bulan membuahkan hasil yang cemerlang.
"Memang sangat mencabar untuk buat ulangkaji satu-satu mata pelajaran dalam masa dua bulan.
"Tapi semuanya berbaloi apabila dapat keputusan, rasa nak sujud syukur di situ juga," cerita Farah ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Guru Farah, Puan Suraya Abdul Rahim, menegaskan, tabung yang diwujudkanbuat Farah akan digunakan sebaik mungkin untuk menampung pembelajaran pelajar itu kelak.
Suraya ketika ditemui memberitahu, dia dan abangnya mempunyai sebab mengapa mewujudkan akaun bank bukan atas nama Farah.
Kata Suraya, apa yang paling dibimbangi adalah wang dalam akaun itu akan digunakan untuk tujuan lain, sementelah sifat Farah yang pemurah dan senang menghulurkan bantuan.
"Farah jenis yang murah hati, apabila orang minta duit atau minta tolong, dia cepat untuk hulurkan bantuan.
"Saya bimbang jika wang itu tidak diurus dengan baik dan menjejaskan pembelajarannya kelak," kata Suraya.
Suraya juga meluahkan keyakinan bahawa abangnya itu boleh diharap untuk menguruskan wang yang didermakan masyarakat untuk Farah, dengan baik.
Kisah Farah mendapat perhatian masyarakat selepas satu perkongsian yang dimuat naik Suraya ke akaun Facebooknya, menceritakan bagaimana pelajar itu berjaya mendapat keputusan 6A, biarpun berhadapan dengan banyak masalah peribadi.
#Farah Marcella #Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #suraya abdul rahim
;