Terjemah penggunaan telefon pintar masa kini menerusi lukisan hieroglif

Bernama
Januari 10, 2023 15:30 MYT
Karya unik Salyuddin Yusof adalah antara bahan pameran yang boleh disaksikan di Pameran Terbuka Galeri Shah Alam (PTGSA) 22 di Galeri Shah Alam. - Bernama
SHAH ALAM: Elemen aksara zaman Mesir Purba iaitu, Hieroglif dan warna foto negatif (negative film) yang digabungkan dalam lukisan 'Imaginasi Pintar + Komunikasi' adalah antara karya seni menarik yang ditonjolkan pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2022 (PTGSA22) di Galeri Shah Alam, di sini.
Pelukisnya, Salyuddin Yusof, 47, berkata karyanya itu menterjemahkan aktiviti penggunaan telefon pintar menggunakan konsep Hieroglif iaitu medium komunikasi zaman Mesir Purba berbentuk simbol dan abjad dengan maksud tertentu.
Lebih menarik, beliau berkata lukisan yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan itu turut menggunakan warna foto negatif dan pengunjung yang ingin melihat kombinasi warna sebenar perlu mengimbas lukisan tersebut menggunakan aplikasi kamera khas di telefon pintar.
Keunikan karya tersebut membuatkan pelukis dari Kuala Terengganu, Terengganu itu terpilih sebagai antara lima penerima Anugerah Insentif pada pameran kali ini.
"Saya anggap idea ini (konsep Hieroglif) unik kerana jika kita sampai mesej secara langsung, ia agak bosan. Jadi, saya cuba olahkan untuk mendapat perhatian ketika proses penjurian.
"Saya ambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan karya ini dengan menonton banyak dokumentari berkaitan sejarah Mesir Purba, selain berbekalkan pengalaman sebagai pereka grafik selama 20 tahun untuk mengolah simbol-simbol dalam karya ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penolong Kurator Galeri Shah Alam Nur Syafiqah Zainal berkata PTGSA22 kali ini mempamerkan 134 karya seni halus meliputi lukisan dua dimensi dan arca yang disaring oleh barisan panel juri dilantik pihak Galeri Shah Alam.
Katanya sebanyak 200 karya dihantar untuk proses penjurian yang meliputi lima aspek iaitu idea, konteks, kekemasan, karya akhir dan bahan yang digunakan.
"Pada pameran sebelum ini, kami menghadapi kekangan dari segi penghantaran karya susulan pandemik COVID-19 menyebabkan kami hanya menerima 100 penyertaan sahaja.
"Namun, penghantaran karya untuk pameran kali ini meningkat sekali ganda, malah karya yang dihantar juga berkualiti menyebabkan juri mengalami kesukaran untuk memilih hasil seni terbaik," katanya.
PTGSA22 yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Seni Halus Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Suzlee Ibrahim hari ini, dibuka kepada orang ramai dari 3 hingga 31 Jan ini.
Pameran tersebut turut dimeriahkan dengan pelbagai program menarik seperti pertandingan Live Drawing serta lakaran Galeri Shah Alam, selain program ilmiah seperti forum, seminar, bicara tokoh dan diskusi.
-- BERNAMA
#galeri seni #lukisan #pameran #Galeri Shah Alam
;