Tengah hari dapat tahu, petang itu juga Ebit Lew hulurkan bantuan kepada Zoo Negara
Asyraf Roslan
November 15, 2020 21:24 MYT
November 15, 2020 21:24 MYT
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia sedia maklum dengan sifat pendakwah bebas, Ebit Lew yang gemar melakukan kerja-kerja amal membantu golongan yang memerlukan.
Dari masalah pelajar universiti memerlukan kenderaan untuk pulang sehinggalah masalah air, Ebit cuba sedaya upaya untuk membantu sehingga masalah itu selesai.
Terbaharu, Ebit berkongsi kepada umum di laman Instagramnya bahawa beliau mendapat permintaan dari Zoo Negara untuk menyelamatkan haiwan di sana.
Menurut Ebit, selepas mendapat panggilan tersebut beliau terus bergegas ke sana pada sebelah petangnya untuk menyalurkan bantuan.
"Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo Negara untuk selamatkan haiwan di sana.
"Saya dapat tahu tengah hari tadi, petang ni terus bawa 200kg daging lembu dan 500kg buah-buahan dan sayuran," katanya di laman Instagram miliknya itu.
Pada masa sama, Ebit dalam perkongsiannya itu turut memberitahu, Zoo Negara memerlukan RM1 juta untuk tujuan makanan dan penyelenggaraan.
Namun, Zoo Negara tidak dapat menjana pendapatan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sekali gus, mengurangkan kehadiran pengunjung.
Tambahnya lagi, Zoo Negara turut mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin membantu sama ada dari segi wang atau pun makanan.